Ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyambut baik keputusan kerajaan menarik balik arahan yang melarang ucapan pemimpin pembangkang disiarkan di stesen radio dan televisyen swasta.

Bagaimanapun, bekas timbalan perdana menteri itu menegaskan bahawa ia juga menimbulkan persoalan mengenai dasar keterbukaan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Anwar mengulas keputusan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Lim Keng Yaik untuk membatalkan arahan yang dihantar oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada stesen radio dan TV swasta pada 7 Jun lalu.

Dalam surat tersebut, Pengerusi SKMM, Datuk Dr Halim Shafie mengingatkan pemilih media tersebut supaya jangan menyiarkan ucapan pemimpin pembangkang. [ Lihat salinan surat ]

Anwar berkata, arahan yang dibuat oleh pengerusi SKMM itu bertujuan untuk menyekat pandangan pembangkang, dan sekaligus mendedahkan pendirian 'lapuk' kerajaan yang kononnya mahu membawa Malaysia melangkah ke era IT.

Beliau mengibaratkannya sebagai membawa "mentaliti dunia ketiga untuk menjana orde dunia pertama".

Sehubungan itu, katanya, dasar pentadbiran Abdullah yang mendakwa terbuka kepada kritikan dan pandangan yang bertentangan, kini dipersoalkan walaupun, Kheng Yaik telah mengarahkan surat tersebut ditarik balik.

Sebaliknya, tegas Anwar, dasar keterbukaan kerajaan tersebut tidak wujud sepertimana yang dilaung-laungkan. Berita asal