Setiausaha dengar perbualan Abdul Razak dengan Altantuya
"Saya tidak ada apa urusan dengan kamu. Apa yang kamu nak buat, buatlah." Itulah kata-kata penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda kepada Altantuya Shaariibu, yang didengar oleh setiausaha kepada Abdul Razak, Siti Aisyah Mohd Azlan.
"Saya tidak ada apa urusan dengan kamu. Apa yang kamu nak buat, buatlah." Itulah kata-kata penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda kepada Altantuya Shaariibu, yang didengar oleh setiausaha kepada Abdul Razak, Siti Aisyah Mohd Azlan.
Menurutnya, Abdul Razak berkata sedemikian ketika wanita Mongolia itu berjumpa dengan penganalisa politik itu di pintu masuk pejabat Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MRSC) pada Ogos tahun lalu.
Siti Aisyah, 24, yang merujuk Altantuya sebagai Amina, berkata pertemuan itu berlaku tanpa temujanji, demikian menurut laporan Bernama.
Ditanya oleh Wong Kian Kheong, peguam yang mewakili Abdul Razak, ketika pemeriksaan balas sama ada Abdul Razak pernah memukul atau mengugut Altantuya, Siti Aisyah yang merupakan saksi kesembilan pembelaa pada perbicaraan hari ke-13 hari ini, berkata: " Tiada."
Siti Aisyah turut menjelaskan bahawa Abdul Razak ada memaklumkan kepadanya tentang kedatangan Altantuya dan wanita itu telah mengugutnya untuk mendapatkan wang.
Oleh sebab itu, katanya, Abdul Razak mengarahkan beliau supaya tidak membenarkan Altantuya masuk ke pejabat.
Katanya beliau juga mengetahui mengenai pelantikan penyiasat persendirian P.Balasubramaniam oleh Abdul Razak adalah untuk tujuan yang sama iaitu menghalang Altantuya bertemu Abdul Razak.
Wong: "Kamu beritahu (yang) Amina datang ke pejabat tiga kali. Adakah Amina juga buat panggilan telefon ke pejabat?"
Siti Aisyah: "Ada. Dia buat panggilan banyak kali."
Wong: "Ada Amina beritahu kamu dari mana dia berasal?"
Siti Aisyah: "Jika dia call, dia beritahu dia hubungi dari Korea. Saya tidak tanya dari mana dia berasal."
Saksi itu berkata, semasa panggilan telefon dan lawatan ke pejabat, Altantuya tidak pernah memberitahunya bahawa Abdul Razak ada mengugut untuk membunuh beliau, malah dia juga tidak diberitahu tentang laporan polis mengenai Abdul Razak yang telah dibuat oleh Altantuya.
Siti Aisyah berkata Abdul Razak ada memberitahunya mengenai kedatangan seorang angota pegawai Unit Tindakan Khas pada 18 Oktober dan nada suaranya adalah seperti biasa.
Wong: "Setuju, pada tarikh itu kali pertama nampak Cif Inspektor Azilah Hadri datang ke pejabat?"
Siti Aisyah: "Setuju dan itu kali tunggal."
Wong: "Setuju lepas perjumpaan dengan Azilah, Abdul Razak bekerja seperti biasa?
Siti Aisyah: "Setuju."
Wong: "Adakah Abdul Razak minta kamu rahsiakan perjumpaannya dengan Azilah?
Siti Aisyah: "Tiada."
Siti Aisyah berkata selaku setiausaha, beliau memang mengetahui bahawa Abdul Razak kerap ke luar negara kerana urusan kerja dan tahu Abdul Razak akan berlepas ke Hong Kong pada 24 Oktober 2006 (hari raya puasa pertama) dan juga mengetahui yang Roweena (anak Abdul Razak) dan Mazlina Makhzan (isteri) akan ke England keesokannya.
Ketika diminta oleh Wong menceritakan perwatakan Abdul Razak selama beliau bekerja dengannya, Siti Aisyah berkata: "Dia seorang majikan yang baik, kelakar dan tidak bersifat ganas."
Siti Aisyah juga berkata beliau tidak percaya Abdul Razak telah bersubahat membunuh Altantuya, dan dia tidak tahu siapa yang membunuh wanita itu.
Wong: "Adakah Abdul Razak beritahu kamu polis yang beritahunya Azilah yang bunuh Altantuya?"
Siti Aisyah: "Itu saya tidak ingat. Saya juga tidak pasti sama ada Abdul Razak ada memberitahu saya bagaimana beliau tahu siapa yang bunuh."
Katanya pada 7 November 2006, Abdul Razak telah pergi ke balai untuk beri kenyataan tetapi beliau tidak memberitahu tujuannya berbuat demikian.
Semasa prosiding ditangguhkan 15 minit, Abdul Razak, yang diusik wartawan bahawa mereka tidak sangka pula beliau seorang yang kelakar, sambil tersenyum berkata: "Adalah buat kelakar sikit kat pejabat tu."
'Cakap Abdul Razak'
Ketika pemeriksaan balas oleh Hazman Ahmad, peguam yang mewakili Azilah, Siti Aisyah berkata, keterangannya semalam bahawa Azilah yang membunuh Altantuya dibuat berdasarkan cakap Abdul Razak dan dia sendiri sebenarnya tidak mempunyai sebarang fakta dan sokongan.
Beliau mengakui keterangannya itu adalah yang didengar daripada orang lain serta tidak mengetahui apa yang dibincangkan semasa perjumpaan Abdul Razak dan Azilah di pejabat MRSC.
Hazman: "Tadi kamu kata kamu pun tak tahu siapa yang bunuh Amina. Kamu ada beri keterangan dia (Abdul Razak) kata Azilah yang lakukannya. Setuju, pada ketika itu kamu pun tiada pengetahuan peribadi siapa yang lakukan pembunuhan.
Siti Aisyah: "Setuju."
Hazman: "Kamu beritahu (yang) Azilah tuduh Abdul Razak suruh bunuh Altantuya. Dari mana kamu tahu ini?"
Siti Aisyah: "Abdul Razak yang beritahu."
Hazman: "Kamu tak dengar sama ada perkara ini dikatakan oleh Azilah kepada Abdul Razak?"
Siti Aisyah: "Tidak."
Hazman: "Kamu tak tahu sama ada perkara itu berlaku atau tidak?"
Siti Aisyah: "Saya tidak tahu."
Percakapan beramaran
Siti Aisyah turut memberitahu mahkamah bahawa beliau telah merakam percakapan sebanyak empat kali yang dikendalikan oleh dua pegawai polis iaitu Cif Inspektor Shawal Osman dan ASP Aidah Othman, dan apa yang diberitahunya di mahkamah adalah sama seperti dalam percakapan beramaran itu.
Hazman: "Setuju, apabila ada empat kenyataan diambil atas perkara yang sama, kamu telah berikan empat keterangan yang berbeza?"
Siti Aisyah: "Tidak setuju."
Hazman: "Setuju bahawa apabila ada empat keterangan, kamu tidak beri keterangan yang benar?"
Siti Aisyah: "Tidak setuju."
Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Hazman bahawa ada fakta yang dicadangkan oleh polis kepadanya.
Siti Aisyah berkata bahawa pada 7 Nov, DSP Lim Meng Seah telah datang ke pejabat untuk membawa Abdul Razak ke balai polis, dan dua atau tiga hari selepas itu, Abdul Razak kembali ke pejabat dengan beberapa pegawai polis dan mereka masuk ke dalam pejabat Abdul Razak.
Sebelum prosiding bermula pagi tadi, kakitangan mahkamah telah memasang mikrofon di tempat saksi untuk membolehkan semua yang berada di mahkamah mendengar dengan jelas keterangan yang diberikan.
Semalam, Siti Aisyah diminta oleh mahkamah supaya bercakap kuat sedikit kerana suaranya perlahan.

