Seorang lelaki berusia 39 tahun ditemukan meninggal dunia akibat lemas ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis dalam kejadian di Bachok, Kelantan semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kira-kira jam 4.36 petang pihaknya menerima terima maklumat salah seorang suspek bertindak melarikan diri daripada serbuan dengan cara terjun ke dalam sungai dan dipercayai tenggelam.
Menururtnya, kejadian berlaku ketika sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah sedang menjalankan Ops Tapis Khas Se-Malaysia dengan membuat serbuan di sebuah Jeti Nelayan Pangkalan Petah.
"Semasa serbuan dilakukan, suspek bertindak cuba melarikan diri dengan cara terjun ke dalam sungai daripada bot nelayan yang dinaiki dan cuba berenang ke tebing sungai sebelum dipercayai tenggelam.
"Operasi mencari dan menyelamat telah dibuat dengan dibantu oleh pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi mengesan mangsa.
"Mayat mangsa ditemukan pada jam 7 petang dengan jarak 10 meter daripada lokasi kejadian berlaku," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Mohamad Ismail berkata, semakan dapati mangsa mempunyai enam rekod positif dan memiliki dadah.
"Pengecaman mayat juga turut dibuat oleh abang mangsa dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Tambanya, susulan serbuam itu pihak polis berjaya menangkap dua lagi suspek lain di bawah Sekyen 15(1)(a) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya.
"Selain itu dua lagi tangkapan berjaya dinuat di Jeti Kemasin di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dan kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok untuk tindakan lanjut," kata Mohamad Ismail lagi.
