'Suatu ketidakadilan yang nyata terhadap diri saya, keluarga saya'.

Demikian ulasan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan mahkamah mengetepikan saman fitnahnya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduhnya seorang homoseksual.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mengetepikan saman fitnah Anwar yang menuntut gantirugi sebanyak RM100 juta.

Dalam reaksinya, Anwar berkata, keputusan Mahkamah Tinggi hari ini jelas suatu ketidakadilan yang nyata terhadap dirinya dan keluarganya.

Keputusan ini juga, kata Anwar, menggambarkan kedudukan keadilan di Malaysia.

"Di dalam mencapai keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Tengku Maimun Tuan Mat telah memilih untuk tidak mengendahkan hujah-hujah perundangan yang saya bentangkan kepada mahkamah untuk memberikan sebab mengapa Dr Mahathir mesti menjawab saman saya kerana membuat kenyataan liar dan berniat jahat terhadap peribadi saya.

"Di atas sebab-sebab itu membuatkan saya terpaksa menyatakan keputusan ini langsung tiada nilai perundangan," kata Anwar yang juga ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR)..

Sehubungan, katanya, beliau telah mengarahkan para peguamnya untuk memfailkan rayuan serta-merta.

Sementara itu, Dr Mahathir yang kini sedang berada di Langkawi, tidak dijangka memberi sebarang komen mengenai berkata, kata pegawai pembantunya, Sufi Yusoff ketika dihubungi malaysiakini. Berita asal