Tertuduh kedua dibawa pulang dari tugasan di Pakistan
Pihak pendakwa dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu akan mengemukakan keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam esok berhubung pengakuan tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, kepada Timbalan Komander Unit Tindakan Khas (UTK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 5 November lalu.
Pihak pendakwa dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu akan mengemukakan keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam esok berhubung pengakuan tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, kepada Timbalan Komander Unit Tindakan Khas (UTK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 5 November lalu.
"Saya akan mengemukakan satu pengakuan yang akan disusuli dengan perbicaraan dalam perbicaraan. Mungkin kita boleh sambung esok," kata Timbalan Pendakwaraya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai pasukan pendakwaan, sebelum prosiding sesi petang berakhir.
Katanya, pengakuan itu dibuat oleh Sirul Azhar kepada DSP Mastor Mohd Ariff ketika kedua-dua mereka dalam penerbangan dari Pakistan ke Malaysia, demikian menurut laporan Bernama.
Terdahulu, ketika memberikan keterangan pada hari ke-13 perbicaraan kes bunuh Altantuya, Mastor, 45, berkata beliau diarah mengeluarkan Sirul Azhar daripada tugasannya di Pakistan dan membawanya pulang ke Malaysia.
Mastor yang telah berkhidmat selama 25 tahun dengan Polis Diraja Malaysia dan mempunyai 19 tahun pengalaman di UTK, berkata anggota polis itu seakan-akan tidak percaya bila diberitahu dia dikeluarkan daripada tugasan mengiringi Perdana Menteri di Pakistan dan diarah pulang dengan segera.
Saksi kesebelas pendakwaan itu berkata Sirul Azhar sebaliknya mendesak beberapa kali supaya beliau menceritakan perkara yang sebenar mengapa dia diarah pulang kerana tidak percaya dengan alasan yang diberikannya bahawa dia perlu menyelesaikan masalah berikutan laporan polis yang dibuat oleh bekas isterinya.
Mastor berkata beliau dan dua anggota UTK berlepas ke Islamabad, Pakistan pada 4 November tahun lalu untuk membawa Sirul Azhar pulang ke tanahair setelah menerima arahan daripada Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah.
Laporan polis
Saksi itu berkata beliau bertemu dengan Sirul Azhar di bilik hotelnya kira-kira lima jam sebelum penerbangan mereka untuk pulang ke Malaysia dan menurutnya Sirul Azhar sepatutnya kembali ke Malaysia pada 9 November.
epada soalan Tun Abdul Majid mengenai apakah yang diberitahu oleh beliau kepada Sirul Azhar, Mastor menjawab: "Saya beritahu isteri beliau telah membuat laporan polis terhadap beliau dan saya kena bawa beliau balik dengan segera kerana perkara itu perlu diselesaikan untuk jaga nama baik polis."
Katanya selepas memberitahu perkara itu, Sirul Azhar bersetuju mengikut beliau pulang ke Malaysia dengan menaiki pesawat dari Islamabad yang kemudiannya singgah di Lahore dan Bangkok sebelum meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur.
Tun Majid: "Sebelum sampai di Bangkok, adakah tertuduh kedua tanya apa-apa pada kamu?"
Mastor : "Ada. Bila transit di Lahore dia tanya kerana dia tidak percaya saya bawa dia pulang sebab bekas isterinya buat laporan polis.
Tun Majid: "Apa kamu beritahunya?"
Mastor: "Saya kata saya akan beritahu dia cerita sebenar lepas naik pesawat MAS dari Bangkok ke KL."
Mastor berkata semasa singgah di Bangkok, Sirul Azhar sekali lagi menanyakan soalan yang sama, namun beliau hanya menjawab "naik pesawat saya akan cerita sebenarnya."
Cif Insp Azilah Hadri, 30, dan Sirul Azhar, 35, kedua-dua dari Unit Tindakan Khas, Bukit Aman, dituduh membunuh Altantuya, 28, di sini antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu. Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, dituduh bersubahat dengan mereka.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin disambung esok.

