PAS mahu bawa balik pengundi rakyat Ktan
Antara strategi utama PAS untuk mempertahanan kerajaan negerinya di Kelantan ialah dengan membawa pulang rakyatnya yang menetap di luar Kelantan, untuk mengundi parti itu dalam pilihanraya umum akan datang.
Antara strategi utama PAS untuk mempertahanan kerajaan negerinya di Kelantan ialah dengan membawa pulang rakyatnya yang menetap di luar Kelantan, untuk mengundi parti itu dalam pilihanraya umum akan datang.
Usaha ini akan dilaksanakan oleh Dewan Ulama PAS negeri itu dan kertas kerja mengenainya sudah disiapkan untuk dikemukakan kepada PAS Kelantan.
Ketua Dewan Ulama PAS pusat, Datuk Mohd Daud sendiri telah mencadangkan strategi tersebut dalam muktamar parti itu yang berlangsung di Kota Bharu baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Dewan Ulama PAS negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demit, berkata cadangan itu telah disalahtafsir oleh sesetengah pihak, khususnya Umno Kelantan.
Menurutnya, Umno Kelantan mendakwa beliau mengaku di muktamar tersebut, telah membawa masuk pengundi dari luar Kelantan ke kawasannya dalam pilihanraya umum yang lalu.
Sebaliknya, Daud yang juga ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, apa yang dibangkitkannya di muktamar tersebut ialah perlunya PAS memastikan rakyat Kelantan yang bekerja dan menetap di luar negeri itu, pulang mengundi PAS.
"Saya membuat kertas kerja cadangan supaya Dewan Ulama dan PAS Kelantan bekerjasama untuk membawa mereka balik untuk mengundi di Kelantan.
Usul ditolak
"Kerana saya mendapat tahu ramai juga orang Kelantan, termasuk penyokong PAS sendiri yang bekerja di negeri lain, yang tidak balik mengundi di tempat sendiri," katanya ketika dihubungi malaysiakini .
Bagaimanapun, katanya, ia telah menjadi isu besar apabila Adun BN Bukit Tuku, Datuk Mohd Zain Ismail dari Barisan Nasional (BN) telah mengemukakan usul untuk membincangkan perkara itu sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini.
Namun, Speaker Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah telah menolak usul tersebut serta empat usul lagi yang dikemukakan oleh wakil rakyat BN. Ekoran itu, kesemua 22 Adun BN bertindak keluar dewan.
Sebaliknya, Mohd mendakwa Umno yang membawa masuk pengundi luar ke Kelantan bagi membolehkan parti itu menang dalam pilihanraya umum akan datang.
Katanya, Umno melakukan kerja-kerja tersebut sejak dahulu lagi dan semakin kuat sebaik sahaja PAS mengambilalih pemerintahan kerajaan negeri Kelantan dalam pilihanraya umum 1990.
Bagaimanapun, Mohd Zain, ketika dihubungi malaysiakini , mendakwa PAS sudah lama membawa masuk pengundi luar ke beberapa kawasan tertentu di negeri itu bagi membolehkan parti itu menang dalam setiap kali pilihanraya.
Beliau mendakwa, antara kawasan yang terbabit dengan pemindahan pengundi luar ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama dalam Parlimen Kota Baru dan DUN Pengkalan Pasir dalam kawasan Parlimen Pasir Mas.
"Semua rakyat Kelantan tahu mengenai perkara tersebut tetapi pemimpin PAS tetap cuba melindungi kegiatan itu, dan sebaliknya mendakwa Umno negeri yang membawa masuk pengundi luar," katanya.
Beliau juga mendakwa, para pemimpin PAS Kelantan mempunyai hubungan baik dengan penduduk Islam di beberapa wilayah selatan Thailand dan kerap berkunjung ke wilayah tersebut sejak dahulu lagi.
Wilayah selatan Thai
"Saya tidak pasti apa tujuan pemimpin PAS tersebut melawat wilayah selatan itu. Tetapi ramai yang berkata, mereka mahu membawa pengundi dari kawasan tersebut ke tempat mereka.
"Kemungkinan tersebut tidak boleh diketepikan begitu sahaja memandangkan Kelantan dan wilayah selatan Thailand berjiran. Penduduk daerah Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tanah Merah boleh berulang balik ke negeri itu dengan mudah kerana jaraknya yang dekat.
"Malah, ramai penduduk wilayah tersebut yang bekerja dan tinggal di ketiga-tiga daerah tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Zain berkata, selama ini pemimpin PAS cuba menafikan mereka membawa masuk dan memindahkan pengundi luar ke beberapa kawasan di Kelantan walaupun Umno mempunyai bukti.
Katanya lagi, beliau telah dimaklumkan bahawa Mohd Daud sendiri mengakui telah lama membawa masuk pengundi luar ke Kelantan semasa berucap di dalam Muktamar PAS di Kota Baru awal bulan lalu.
Berikutan itu, kata Mohd Zain, beliau telah mengemukakan usul untuk membincangkan perkara tersebut dalam sidang DUN Kelantan tetapi ditolak oleh Speaker dewan, dengan alasan tiada kepentingan awam.

