Timbalan Komander UTK diberitahu Sirul Azhar bunuh Altantuya
Seorang pegawai kanan Unit Tindakan Khas (UTK) memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa diberitahu bahawa orang yang membunuh Altantuya Shaariibuu pada Oktober tahun lalu ialah Kpl Sirul Azhar Omar, tertuduh kedua dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu.
Seorang pegawai kanan Unit Tindakan Khas (UTK) memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa diberitahu bahawa orang yang membunuh Altantuya Shaariibuu pada Oktober tahun lalu ialah Kpl Sirul Azhar Omar, tertuduh kedua dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu.
Timbalan Komander UTK, cawangan tempat Sirul Azhar bertugas, berkata perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (ketika itu), Datuk Syed Ismail Syed Azizan, yang mendapat maklumat itu daripada Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama, demikian menurut laporan Bernama.
Mastor, 45, saksi pendakwaan yang ke-11, berkata, semasa dalam penerbangan dengan pesawat MAS dari Bangkok ke Kuala Lumpur, beliau telah menerangkan kepada Sirol Azhar tujuan beliau membawanya pulang ke Malaysia dari satu tugasan di Pakistan adalah atas arahan Syed Ismail kerana ia berkaitan kehilangan seorang wanita Mongolia.
Ketika memberi keterangan pada hari ke-14 perbicaraan kes itu, saksi itu berkata beliau diberitahu oleh Syed Ismail bahawa dalam soal siasat kes berkenaan, Azilah telah mendedahkan bahawa wanita Mongolia itu telah dibunuh dan diletupkan dengan bahan letupan, dan Sirul Azhar adalah orang yang melakukannya.
Mastor, yang telah berkhidmat selama 25 tahun dengan Polis Diraja
Malaysia dan mempunyai 19 tahun pengalaman di UTK, berkata Sirul Azhar ada
memberi jawapan yang berbentuk pengakuan berkaitan dirinya dengan kes itu
kepadanya selepas beliau (Mastor) memberitahu Sirul Azhar perkara itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin kemudiannya memerintahkan satu perbicaraaan dalam perbicaraan diadakan untuk menentukan kesahihan pengakuan Sirul Azhar itu.
Semasa perbicaraan dalam perbicaraan itu, Mastor berkata, beliau kemudian meminta Sirul Azhar supaya mencerita perkara yang sebenar.
"Cerita ini dah terdedah. Haraplah beritahu cerita sebenar dan tidak ada apa yang boleh disembunyikan," katanya.
Mastor berkata bahawa semasa itu beliau perhatikan Sirul Azhar dalam keadaan gelisah dan dia telah "memberi respond lambat dua tiga minit".
Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, saksi itu berkata beliau tidak mengugut, mendorong, atau memujuk Sirul
Azhar untuk memberi jawapan.
Azilah, 30, dan Sirul Azhar, 35, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas, Bukit Aman, dituduh membunuh Altantuya, 28, di Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, dituduh bersubahat dengan mereka.

