Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengecam kenyataan terbaru Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mempertahankan keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman Najib Razak.
Dalam ciapannya di X, Latheefa menuduh Anwar cuba mengalihkan kesalahan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai pengerusi Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
"Jangan salahkan Agong. Seri Paduka Baginda terikat dengan nasihat Lembaga Pengampunan," kata Latheefa sebagai mengulas kenyataan Anwar pagi ini.
Anwar pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya, hari ini, berkata pendengaran yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan terhadap permohonan pengampunan Najib adalah selaras dengan peruntukan undang-undang.
Dia turut menafikan dakwaan bahawa setiap tahanan perlu berada di dalam tahanan minimun tiga tahun sebelum permohonan pengampunan mereka boleh dipertimbangkan.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Noor Adam mengucapkan terima kasih kepada Anwar Ibrahim dan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi yang menurutnya membolehkan petisyen Najib Razak yang difailkan pada September, 2022 kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan "didengar awal".
Mengulas lanjut, Latheefa memetik Perkara 40(1A) perlembagaan persekutuan, bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah “menerima dan bertindak mengikut nasihat” Lembaga Pengampunan.
“Apabila Lembaga Pengampunan memberi nasihat, Seri Paduka terpaksa menerima.
“Nasihat itu jelas supaya mengurangkan hukuman. Semudah itu. Jadi, henti berputar-belit,” katanya.
Semalam, Latheefa mempersoalkan bagaimana perasaan pegawai dan anggota SPRM yang terlibat dalam menyiasat skandal 1MDB berhubung pengurangan hukuman ke atas Najib.
Katanya, ramai yang kekal sebagai penjawat awam dan tidak dapat bersuara.
“Dan pengurangan hukuman ini berlaku ketika SPRM masih cuba mendapatkan semula wang 1MDB di luar negara.
“Saya terlibat dalam proses ini dan saya tahu kesukarannya. Negara-negara lain memerhati dengan teliti - adakah mereka akan bekerjasama sekarang?” soalnya.
Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa tempoh hukuman penjara Najib akan dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, bermakna bekas perdana menteri itu akan dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.
Pada mesyuarat pada 29 Jan lalu, lembaga itu juga mengurangkan denda yang dikenakan ke atas Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan ini adalah antara tugas terakhir Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang penggal baginda berakhir pada Selasa (30 Jan).