Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR),Tian Chua mempertahankan tindakannya menyiarkan dalam blognya sekeping gambar yang menunjukkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang makan bersama penganalisa politik Abdul Razak Baginda dan seorang wanita yang tidak dikenali.

Beliau menyifatkannya sebagai satu respons bersahaja terhadap situasi ekoran keterangan saksi dari Mongolia, Burmaa Oyunchimeg, 26, sewaktu perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, saksi keenam pendakwa itu berkata, dia pernah melihat sekeping gambar yang ditunjukkan oleh Altantuya kepadanya di mana Altantuya sedang makan di Paris bersama Abdul Razak dan seorang pegawai kerajaan yang dikenali sebagai "Najib Razak".

Keterangannya itu telah mencetuskan spekulasi bahawa "Najib Razak" tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, yang dilaporkan berada di Perancis berhubung pembelian tiga kapal selam.

Semalam, beberapa Ahli Parlimen mengecam tindakan Tian Chua itu yang menurut mereka, mempersendakan pemimpin negara dengan menyiarkan gambar menunjukkan Najib diapit oleh Altantuya dan Abdul Razak. Altantuya mati dibunuh pada Oktober tahun lalu dan Abdul Razak dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu.

Dalam blognya itu, Chua menulis mengenai penafian Najib sebelum ini yang beliau mengenali Altantuya dan menyiarkan sekeping gambar yang menggunakan teknik pertindihan imej yang dibuatnya sendiri.

Menurutnya, kerja satira ala 'Monty Python' itu sudah menjadi satu kebiasaan dalam sejarah komentar sosial.

Hasil seni

Tian Chua juga menafikan beliau menuduh Najib sebagai "Najib Razak" seperti yang disebut dalam keterangan Burmaa itu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR itu berkata, beliau tidak bertanggungjawab terhadap penyebaran gambar tersebut dan andaian yang dibuat oleh mana-mana pihak mengenainya.

Selain itu, kata Tian Chua, dia juga tidak pernah menyebut dalam blognya bahawa itu adalah gambar sebenar sepertimana yang disebut dalam perbicaraan tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan Tin Chua enggan meminta maaf atau menarik balik gambar itu kerana menganggap gambar itu satu "khayalan dan hasil seni semata-mata".

"Saya buat sendiri dan ia tidak dihasilkan secara profesional. Kalau ada majlis makan malam itu, itulah bagaimana ia akan dilihat. Gambar perempuan itu pun bukan Altantuya yang sebenar," katanya kepada pemberita di pejabat PKR di ibukota hari ini.

Ditanya sama ada polis sudah memanggilnya berhubung perkara itu, Tian Chua berkata "belum lagi" dan beliau tidak menggangap apa yang dilakukannya sampai kepada tahap untuk dijadikan suatu kesalahan dan dia boleh dikenakan tindakan.