Mesyuarat kabinet hari ini tidak membincangkan sama ada terdapat keperluan untuk Lembaga Pengampunan mendedahkan kepada umum alasan mengurangkan hukuman penjara bekas perdana menteri Najib Razak, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga menteri komunikasi, memberitahu pemberita hari ini bahawa kandungan perbincangan lembaga itu adalah rahsia dan lazimnya tidak membuat apa-apa kenyataan mengenai keputusan yang dibuat.

“Kabinet tak ada membincangkan keperluan untuk Lembaga Pengampunan membuat sebarang pengumuman.

"Lazimnya Lembaga Pengampunan tidak memberikan apa-apa komen ataupun kenyataan kalau kita lihat sebelum ini belum pernah ada, seingat saya," katanya semasa sidang media di Putrajaya.

Fahmi diminta mengulas gesaan agar Lembaga Pengampunan mendedahkan alasan di sebalik keputusan mengurangkan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah SRC International.

Lembaga itu telah mengurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun Najib dan mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ketika ditanya pandangan peribadinya sebagai menteri, Fahmi memetik pendapat pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi yang baru-baru ini menulis pendapat mengenai perkara itu.

“Dalam perkara ini, saya mengambil pendapat Shad Saleem Faruqi, pakar perlembagaan yang dua hari lalu menulis pendapatnya di akhbar The Star.

“Dalam artikel itu, beliau berkata perbincangan dalam Lembaga Pengampunan adalah rahsia.

“Saya boleh terima pandangan itu,” kata Fahmi.