Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MP persoal kehadiran ramai polis di pejabat Bersih
Diterbitkan:  Feb 7, 2024 5:10 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Kehadiran ramai anggota dan pegawai polis pada sidang media anjuran Bersih hari ini boleh dilihat sebagai satu bentuk gangguan terhadap orang awam, kata ahli parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Ahli parlimen DAP itu turut mempersoalkan keperluan mengerahkan ramai anggota polis pada sidang media berkenaan.

"Saya tidak nampak ada keperluan untuk kerahkan sebegitu ramai anggota hanya untuk suatu sidang media.

"Ini akan dilihat sebagai suatu bentuk intimidasi dan amalan seperti ini tidak patut jadi kebiasaan di bawah Kerajaan Madani ini," ciapnya di laman sosial X.

Syahredzan turut meminta Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail supaya melihat kembali pendekatan yang digunakan pihak berkuasa itu.

"KPN dan Menteri YBM @saifnasution harus lihat semula pendekatan pihak polis.

"Jangan sia-siakan perjuangan kita untuk menentang segala bentuk intimidasi penguasa selama ini," katanya.

Awal hari ini, Bersih menyelar kehadiran ramai anggota dan pegawai polis di kawasan pejabat mereka di Petaling Jaya ketika sidang media berkaitan pengurangan hukuman terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Menyifatkan apa yang berlaku sebagai “gangguan”, kumpulan pendesak itu menyindir Saifuddin yang menjaga hal ehwal polis.

“Lama tak jumpa.

“Apa khabar reformasi?” kata badan pemantau pilihan raya itu di laman X.

Sidang media itu diadakan susulan keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Jumlah denda yang dikenakan terhadapnya turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Semalam, Bersih tidak menolak kemungkinan mengadakan demonstrasi bagi membantah pengurangan hukuman berkenaan.

Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata mereka “menuju ke arah itu” tetapi perlu membina momentum terlebih dahulu.

Menurutnya, Bersih menolak pengurangan hukuman berkenaan atas alasan ia menggugat kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Lihat Komen
ADS