Saksi: Sirul menggigil apabila tahu Azilah kata dia bunuh Altantuya
Kpl Sirul Azhar Umar menggigil dan gelisah setelah mengetahui Cif Inspektor Azilah Hadri telah membuat pendedahan dialah orang yang membunuh dan meletupkan Altantuya Shaariibuu, demikian Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini.
Kpl Sirul Azhar Umar menggigil dan gelisah setelah mengetahui Cif Inspektor Azilah Hadri telah membuat pendedahan dialah orang yang membunuh dan meletupkan Altantuya Shaariibuu, demikian Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini.
Timbalan Komander Unit Tindakan Khas (UTK), ACP Mastor Mohd Ariff berkata, reaksi itu jelas kelihatan pada Sirul Azhar setelah beliau memberitahu perkara itu kepadanya semasa dalam penerbangan membawanya pulang dari satu tugasan di Pakistan.
"Sirul mengambil masa beberapa minit sebelum menjawab dakwaan terhadap dirinya," kata Mastor, demikian menurut laporan Bernama.
Menurut Mastor, 45, berkata maklumat mengenai pendedahan Azilah itu diperoleh dari Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan. Syed Ismail juga yang mengeluarkan arahan kepadanya untuk membawa Sirul Azhar pulang ke Malaysia.
Saksi ke-11 dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya itu, kemudian diminta oleh Timbalan Pendakwaraya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, untuk menceritakan apa yang berlaku dalam pesawat penerbangan itu.
"Saya beritahu beliau (Sirul), sebenarnya tujuan saya datang ke Pakistan ialah untuk mengambil beliau, bersangkut kehilangan seorang wanita Mongolia.
"Saya diberitahu oleh Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Syed Ismail bahawa tertuduh pertama, Azilah Hadri, telah beritahu ketika disoal siasat bahawa wanita Mongolia telah dibunuh dan diletupkan dengan bahan letupan.
"Datuk Syed Ismail juga memberitahu pada saya tertuduh pertama menyatakan bahawa tertuduh kedua (Sirul Azhar) telah bunuh wanita Mongolia tersebut. Sebab itulah saya diarah bawa pulang beliau segera untuk siasatan.
"Saya juga beritahu tertuduh kedua bahawa perkara itu telahpun diketahui dan didedahkan oleh tertuduh pertama dan tiada gunanya sembunyikan perkara sebenar," kata Mastor.
Katanya, perkara itu diberitahu kepada Sirul Azhar semasa beliau duduk bersebelahan dengan tertuduh kedua itu yang juga anggota bawahannya itu ketika dalam pesawat penerbangan MAS yang meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur setelah berhenti untuk transit di Bangkok pada jam 11.20 pagi 6 November tahun lalu.
Dalam keterangannya petang semalam, Mastor berkata beliau telah memberitahu Sirul Azhar bahawa dia diarahkan pulang segera ke Malaysia supaya menyelesaikan masalah berkaitan laporan polis yang dibuat oleh bekas isterinya.
Bantah keterangan
Mastor juga memberitahu mahkamah semalam bahawa setelah menerima arahan Syed Ismail, beliau diiringi dua anggota UTK berlepas ke Pakistan pada 4 November 2006 untuk memberhentikan Sirul Azhar daripada tugasan mengiringi Perdana Menteri di Islamabad dan membawanya pulang ke Malaysia.
Hazman Ahmad, peguam bela Azila, bangun dan membantah keterangan Mastor hari ini dan tidak mahu ia direkodkan sebelum mahkamah memutuskan isu sama ada pengakuan atau yang dibuat anak guamnya kepada saksi telah dibuat secara sukarela.
Hazman: "Selagi Datuk Syed tidak dipanggil, keterangan ini ialah keterangan dengar cakap. Kita pun tak tahu sama ada tertuduh pertama ada membuat pengakuan itu kepada Datuk Syed (semasa soal siasat). Keterangan ini sekarang sangat menuding terhadap tertuduh pertama. Jika saksi terus
beri keterangan, keterangan itu akan ada dalam rekod mahkamah dan akan mempengaruhi minda mahkamah. Lebih baik diadakan perbicaraan dalam perbicaraan."
Mahkamah kemudian memulakan prosiding perbicaraan dalam perbicaraan bagi memutuskan isu sama ada pengakuan dan tindak balas Sirul Azhar telah dilakukan dalam keadaan sukarela dan tanpa sebarang unsur ugutan atau paksaan.
Saksi itu sekali lagi diminta mengangkat sumpah bercakap benar sebelum keterangannya didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin.
Mastor, yang telah berkhidmat selama 19 tahun di UTK, berkata bahawa apabila ditugaskan membawa pulang Sirul Azhar dari Pakistan ke Malaysia, beliau telah mengarahkan Sarjan Jelima Tasiran dan Koperal Zamri Abu Bakar untuk mengiringinya ke Islamabad dengan menaiki pesawat pada pagi 4 November 2006.
Tun Abdul Majid: "Apa alasan anda untuk bawa pulang tertuduh kedua semasa jumpa di Pakistan?"
Mastor: "Alasan yang saya berikan ialah bekas isteri beliau buat laporan masalah rumah tangga dan saya diarahkan bawa pulang tertuduh kedua ke Malaysia untuk selesaikan kes itu demi menjaga nama baik polis."
Tun Abdul Majid: "Adakah dia percaya alasan ini?"
Mastor: "Ketika saya beri alasan itu, pada pendapat saya, beliau mempercayainya."
Dalam penerbangan pulang dari transit di Bangkok ke Kuala Lumpur, Mastor berkata beliau telah menceritakan kepada Sirul Azhar alasan sebenar tujuannya membawa dia pulang ke Malaysia ketika duduk bersebelahan dengannya dalam pesawat MAS itu.
Tun Abdul Majid: "Apa yang kamu maklumkan pada dia?"
Mastor: "Semasa dalam pesawat, saya telah beritahu beliau bahawa saya telah diarahkan oleh Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Syed Ismail supaya bawa beliau pulang ke Malaysia untuk disiasat berhubung kes kehilangan perempuan Mongolia. Datuk Syed juga memberitahu saya bahawa semasa disoal siasat, tertuduh pertama telah mendedahkan bahawa perempuan Mongolia tersebut telah dibunuh dan diletupkan dengan bahan letupan. Tertuduh pertama telah mengatakan bahawa beliau (Sirul Azhar) adalah orang yang telah melakukannya."
Hazman sekali lagi membantah keterangan itu direkodkan.
Tidak dipaksa
Tun Abdul Majid menjelaskan : "Kita perlu dapatkan keterangan apa yang membuatkan tertuduh kedua membuat pengakuan. Jadi keterangan ini adalah relevan. Hanya pengakuannya nanti yang akan jadi isu sama ada ia dibuat secara sukarela atau tidak.
"Andai nanti diputuskan pengakuannya tidak secara sukarela, kesemuanya nanti akan terhapus."
Hakim Mohd Zaki: "Ia bukan satu pengakuan, hanya sebagai alasan sebenar yang diberitahu oleh saksi kepada tertuduh kedua. Teruskan."
Mastor, yang menyambung keterangannya, berkata bahawa selepas beliau memaklumkannya kepada Sirul Azhar, dia (Sirul Azhar) ada memberikan jawapan kepadanya berhubung perkara itu.
Mastor berkata walaupun beliau mengharapkan jawapan daripada Sirul Azhar tetapi beliau tidak pernah mendesak, memaksa memberi dorongan, membuat janji atau memberi tekanan terhadap Sirul Azhar untuk menjawab.
Saksi itu berkata beliau hanya bertanya sebagai seorang ketua kepada anggota bawahannya dan meminta Sirul Azhar menceritakan perkara yang sebenar.
"Saya kata cerita ini telah terdedah, Azilah telah ceritakan yang sebenar dan tidak ada yang perlu disembunyikan," kata Mastor, sambil menjelaskan bahawa Sirul Azhar kelihatan resah, menggigil dan mengambil dua hingga tiga minit sebelum berkata sesuatu kepadanya.
Mastor berkata beliau tidak membuat catatan mengenai jawapan Sirul Azhar terhadap dakwaan Azilah itu kerana ketika itu beliau bertanya sebagai seorang ketua dan bukannya sebagai seorang pegawai penyiasat.
Katanya setibanya di KLIA, beliau menghubungi Syed Ismail dan memaklumkan kepadanya tentang jawapan Sirul Azhar itu, sebelum menghantar dan menyerahkan tertuduh itu kepada Unit D9 Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.
Dalam sesi soal balas oleh peguam bela Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin, saksi itu mengakui beliau memang tahu tentang penglibatan Sirul Azhar dalam kes itu sebelum bertemu tertuduh itu di Pakistan, dan turut terfikir Sirul Azhar adalah seorang suspek yang perlu dibawa ke proses pengadilan.
Arahan bawa pulang
Mastor mengakui tidak memberi alasan sebenar berhubung arahan untuk membawa Sirul Azhar pulang ke Malaysia bagi memudahkan beliau menyempurnakan tugasannya itu.
Katanya beliau telah mengeluarkan arahan kepada DSP Fisol Salleh untuk melepaskan Sirul Azhar daripada tugasannya tetapi beliau tidak pasti bila Fisol meminta Sirul Azhar menyerahkan senjatanya sebelum berangkat pulang ke Malaysia.
Saksi itu turut mengakui bahawa Sirul Azhar, yang pulang ke Malaysia tanpa membawa beg pakaiannya, sentiasa berada di bawah kawalan dan jagaan rapi oleh beliau, Jelima dan Zamri, bermula dari pertemuan di Pakistan sehingga tertuduh itu tiba ke Malaysia.
Ketika ditanya mengenai keadaan Sirul Azhar dalam kereta ketika dibawa ke lapangan terbang Islamabad, Mastor berkata Sirul Azhar diapit kedua-dua anggota UTK itu di tempat duduk belakang.
Katanya Sirul Azhar tidak dibenarkan berjalan di luar pandangannya dan dua lagi anggota UTK itu, dan salah seorang anggotanya akan mengiringi Sirul Azhar jika dia hendak ke bilik air, dan akan ditangkap jika cuba melarikan diri.
Kamarul Hisham turut mengemukakan beberapa soalan berhubung jawapan atau pengakuan yang dibuat oleh anak guamnya kepada Mastor dalam pesawat ketika penerbangan dari Bangkok ke KLIA.
Kamarul Hisham: "Kamu bertanyakan soalan kepadanya dalam nada perintah?"
Mastor: "Setuju."
Kamarul Hisham: "Dan kemudian respon diberikan?"
Mastor: "Setuju."
Kamarul Hisham: "Kamu tahu pada masa itu apa-apa yang diberitahunya kepada kamu boleh digunakan terhadap beliau dalam mahkamah?"
Mastor: "Setuju."
Kamarul Hisham: "Setuju, pada bila-bila masa sebelum tertuduh kedua beri espon, kamu tidak beri amaran kepada beliau?"
Mastor: "Setuju."
Saksi itu juga berkata satu pasukan khas terdiri daripada lima hingga 10 orang anggota UTK telah diarah untuk menunggu ketibaan mereka di KLIA.

