Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, bekas Yang di-Pertua negeri Abdul Taib Mahmud kini sedang menjalani rawatan perubatan di rumah.

Menurut laporan Borneo Post, Abang Johari memaklumkan Taib menjalani rawatan dengan bantuan jururawat dan doktor dari Pusat Pakar Perubatan Normah.

“Keadaan dia baik, tetapi dia sakit. Saya masih belum menerima laporan (tentang status kesihatannya sekarang). Awak kena tanya doktor,” tambahnya yang masih belum dapat bertemu Abdul Taib.

Pagi ini Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata dakwaan bahawa Taib telah diculik dari hospital adalah tidak masuk akal.

Mengakui laporan polis telah dibuat oleh ahli keluarga Taib, razarudin berkata bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu berada di rumah di Demak Jaya dan bukan diculik.

Tambahnya, anak-anak dan saudara mara Taib boleh melawatnya di rumah di mana Abdul Raib dirawat oleh doktor dan jururawat.

Dibawa keluar dari hospital

Taib dilaporkan dibawa keluar oleh isterinya ketika sedang sedang dirawat di unit rawatan rapi Pusat Pakar Perubatan Normah di Kuching pada petang Sabtu lalu.

Menurut laporan polis yang dibuat oleh doktor, Raghad didakwa telah mengeluarkan Taib tanpa memaklumkan kakitangan hospital.

Laporan polis kedua oleh ahli keluarga Taib yang lain dilaporkan telah dibuat pada Ahad lalu susulan laporan pertama.

Menurut laporan polis kedua, tiada seorang pun daripada adik-beradik atau empat anak Taib dimaklumkan tentang keberadaan dan keadaan kesihatannya.

Susulan itu, Raghad mengeluarkan kenyataan di Instagram menafikan dia membawa suaminya keluar dari hospital dan meningkari nasihat doktor.

Dia mendakwa mempunyai bukti dalam bentuk nota tulisan tangan jururawat.

Raghard kemudian mendakwa menjadi mangsa fitnah jahat yang cuba memburukkan dirinya.

Raghad juga menafikan tuduhan bahawa dia merancang untuk meninggalkan negara ini.