Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anggap ini peletakan jawatan saya' - Surendran keluar PKR
Diterbitkan:  Feb 7, 2024 9:04 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Bekas ahli parlimen Padang Serai N Surendran meninggalkan PKR dengan mendakwa parti itu tidak lagi mewakili perubahan dan pembaharuan.

Keputusan itu dibuat melalui respons media sosialnya kepada pengarah komunikasi parti Fahmi Fadzil yang hari ini mengingatkannya supaya mengamalkan disiplin parti apabila menyatakan rasa tidak puas hati.

"Fahmi, tak kisahlah disiplin parti. Saya pun dah lama tak jadi ahli parti yang aktif.

"Saya bertanya tentang pembaharuan yang pernah dijanjikan PKR. Tiada jawapan yang baik untuk itu," kata Surendran di platform media sosial X.

“Tidak ada gunanya menjadi ahli parti yang tidak lagi mewakili perubahan dan pembaharuan.

"Anggap ini sebagai peletakan jawatan saya," kata Surendran, yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Padang Serai dari 2013 hingga 2018.

Ini berlaku selepas bekas naib presiden PKR itu secara terbuka mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana berdiam diri dalam siasatan atas dakwaan menghasut terhadap bekas ahli parlimen Damansara Tony Pua.

Pua disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, berhubung catatan Facebooknya yang mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara bekas perdana menteri Najib Razak.

“Siasatan hasutan ke atas Pua, namun Harapan/DAP kebanyakannya senyap - agak memalukan.

“Betapa dalamnya kawan-kawan lama saya telah karam,” tulis Surendran.

Lihat Komen
ADS