Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kesal kerana kesatuan itu tidak dibawa berunding dalam penyediaan draf dua rang undang-undang yang mengandungi pindaan yang didakwanya tidak menguntungkan para pekerja.

Rang Undang-undang (Pindaan) Kesatuan Sekerja dan Rang Undang-undang (Pindaan) Perhubungan Industri, dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat Selasa lalu.

Sambil menyifatkannya sebagai "seperti sebutir bom yang akan meletup," Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud berkata berita itu amat mengejutkan.

Bercakap kepada dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini, beliau berkata, MTUC mewakili kumpulan pekerja yang ramai dan oleh itu, ia harus dihormati oleh pihak kerajaan.

Sehubungan itu, Syed Shahir menggesa supaya rang undang-undang tersebut ditangguhkan sehingga kesatuan sekerja, firma swasta utama dan pihak kerajaan mengadakan rundingan mengenainya. MTUC mewakili 10 juta pekerja di seluruh negara.

"Jika percaya kepada konsep tiga pihak dan demokrasi, maka MTUC tidak boleh dianggap sebagai sebuah pertubuhan yang boleh dipinggirkan begitu sahaja," katanya.

Jawatankuasa terpilih

Delegasi MTUC telah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen selama sejam untuk membincangkan isu tersebut hari ini. Kesatuan sekerja itu berkata semua ahli Parlimen dijemput tetapi hanya wakil rakyat pembangkang sahaja yang hadir.

Turut sama ialah Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen DAP M Kulasegaran, Chow Kon Yeow dan Ismail Noh dari PAS.

Menurut Lim, walaupun keputusan muktamad mengenai draf rang undang-undang terletak di tangan Kementerian Sumber Manusia, tetapi pihak pekerja harus diberi peluang mengemukakan pandangan mereka.

Lim juga menggesa supaya rang undang-undang itu dirujuk kepada jawatankuasa terpilih Parlimen sebelum dibentangkan untuk bacaan kali kedua.

Kulasegaran berkata, peruntukan yang tidak menguntungkan pekerja termasuk skim bayaran yang dihadkan kepada 48 minggu setahun, dan bukannya 52 minggu.

Katanya, beliau akan mengemukakan usul di bawah Perintah 54 Peraturan Tetap untuk merujuk rang undang-undang itu kepada jawatankuasa terpilih. Berita asal