Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengesahkan kenaikan harga beras ekoran kos pengendalian dan kos bahan api yang memberi kesan secara langsung terhadap kos perkapalan sebanyak 30 hingga 50 peratus sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Kenaikan harga beras itu akan mengakibatkan peningkatan perbelanjaan bulanan isi rumah antara 50 sen dan 70 sen sebulan bagi setiap orang.

Dalam satu kenyataan hari ini Bernas bagaimanapun menganggap kesan kenaikan harga beras terhadap pengguna amat minimum, demikian menurut laporan Bernama.

Bernas juga mengesahkan laporan akhbar mengenai kenaikan harga borong beras putih, beras wangi, beras basmati dan beras pulut atas alasan kenaikan harga beras di pasaran antarabangsa serta kenaikan kos pengendalian.

Kenaikan harga di peringkat pemborongan itu berkuatkuasa 1 Julai membabitkan antara 5 sen dan 10 sen sekilogram bagi beras putih, beras wangi dan beras basmati manakala 20 sen sekilogram bagi beras pulut.

"Sehubungan itu peningkatan harga di peringkat pengguna pula tidak dapat dielakkan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah kenaikan harga pelbagai gred beras tidak dapat dielakkan dan sejak 2005 hingga permulaan tempoh separuh kedua tahun ini, ia mencatatkan peningkatan 10 hingga 100 peratus.

Kos perkapalan

Katanya, kenaikan harga pelbagai gred beras itu juga tidak akan menjejaskan harga kawalan pengguna bagi beras tempatan dengan kandungan hancur 15 peratus yang ditetapkan kerajaan membabitkan harga antara RM1.65 dan RM1.80 sekilogram.

Menurut kenyataan itu lagi, kenaikan harga berkenaan disebabkan peningkatan kos pengendalian dan kos bahan api yang memberi kesan secara langsung terhadap kos perkapalan iaitu sebanyak 30 hingga 50 peratus sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Kos pengangkutan darat juga, tambahnya, naik tujuh hingga lapan peratus dari 2005 hingga tahun ini sejajar dengan kenaikan kos diesel dan petroleum yang dialami baru-baru ini.

Kenaikan harga beras juga disebabkan persaingan luar biasa negara pengimport untuk mendapatkan bekalan didorongi penuaian padi rendah di negara masing-masing dan stok semasa yang perlu ditingkatkan.

"Ini secara tidak langsung mendorong harga meningkat lebih tinggi sedangkan bekalan beras di negara pengeksport terhad. Harga beras di pasaran antarabangsa juga dijangka terus kukuh pada paras sedia ada," kata kenyataan itu.

Kenaikan harga jualan itu hanya dibuat selepas mengambil kira impak di peringkat pengilangan, pemborongan dan juga pengguna, katanya.

Walaupun dibebani kenaikan harga beras import yang tinggi, katanya, Bernas menyerap sebahagian kos kenaikan keseluruhan supaya impak kenaikan beras dapat dibendung kepada paras yang diterima semua pihak termasuk pengguna.

Bernas juga menaikkan harga beras tempatan kerana kos pengeluaran meningkat di setiap rantaian bekalan yang secara tidak langsung usaha berkenaan dapat mengurangkan beban petani.

Faktor luar biasa perkembangan pasaran beras di peringkat antarabangsa mengakibatkan kenaikan harga dan Bernas berkata, ia akan mengambil langkah sewajarnya untuk membuat penyesuaian harga apabila tekanan pasaran pulih dan reda.