Sirul mengaku beri kenyataan kepada ketua
Kpl Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua kes pembunuhan model sambilan Mongolia, Altantuya Shaariibuu, mengaku di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa dia ada membuat kenyataan berhubung dakwaan pembabitannya kepada pegawai atasannya akibat resah kerana ditanya berkali-kali.
Kpl Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua kes pembunuhan model sambilan Mongolia, Altantuya Shaariibuu, mengaku di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa dia ada membuat kenyataan berhubung dakwaan pembabitannya kepada pegawai atasannya akibat resah kerana ditanya berkali-kali.
Sirul Azhar, 35, berkata ketuanya ACP Mastor Mohd Ariff kerap kali meninggikan suara kepadanya ketika mereka berada dalam kapal terbang dari Bangkok ke Kuala Lumpur untuk mengetahui jawapannya berhubung tuduhan Cif Inspektor Azilah Hadri bahawa dia (Sirul Azhar) telah membunuh dan meletupkan seorang wanita Mongolia, demikian menurut laporan Bernama.
Mahkamah diberitahu sebelum ini bahawa berikutan tuduhan Azilah itu, Mastor (foto) telah diarah pergi ke Pakistan untuk membawa pulang Sirul Azhar, yang ketika itu dalam tugasan mengiringi Perdana Menteri ke Islamabad. Penerbangan mereka singgah di Bangkok.
Sirul Azhar, dari Unit Tindakan Khas, Bukit Aman, berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguam belanya, Kamarul Hisham Kamaruddin, pada perbicaraan dalam perbicaraan yang diadakan bagi menentukan sama ada kenyataannya kepada Mastor itu dibuat secara sukarela atau sebaliknya.
Ia bagi membolehkan keterangan itu dimasukkan ke dalam keterangan Mastor dalam perbicaraan semalam.
Sebelum itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwaraya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Sirul Azhar berkata dia tidak pernah memberi apa-apa kenyataan langsung kepada persoalan yang dibangkitkan (dakwaan dia bunuh Altantuya) tetapi menukar jawapan selepas disoal lebih dari tiga kali.
Tun Abdul Majid: "Saya katakan selepas dua atau tiga minit Mastor beritahu cerita sebenar (mengenai pembunuhan Altantuya), memaklumkan kepada kamu apa yang dia diberitahu, kamu beri respon, jawapan atau kenyataan pada beliau?"
Sirul Azhar: "Sekarang saya baru teringat, saya ada beri kenyataan."
Tun Abdul Majid: "Adakah sekarang ini kamu baru teringat bahawa Mastor tidak bertanya berkali-kali?"
Sirul Azhar: "Ada, dia bertanya berkali-kali."
Beliau beberapa kali mengulangi jawapannya bahawa kenyataan yang dibuat itu adalah berikutan nada tegas seolah-olah mendesak oleh Mastor, yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai pegawai pemerintah berpangkat Superitendan dalam Unit Tindakan Khas.
"Pada peringkat awal, nada beliau kurang tegas. Pada peringkat seterusnya nada beliau mulai meninggi dan bernada tegas. Perasaan saya pada ketika itu amat gementar," katanya.
'Saya keliru'
Ketika ditanya oleh Kamarul Hisham (foto) kenapa beliau memberi jawapan yang bertukar-tukar, Sirul Azhar berkata: "Saya terkeliru sebab banyak soalan."
Sirul Azhar berkata, ketika diberitahu bahawa beliau perlu balik ke Malaysia kerana bekas isterinya telah membuat laporan terhadapnya dan ini boleh menjejaskan imej polis, beliau langsung tidak mempercayai alasan itu tetapi tetap akur dengan arahan Mastor.
Ditanya mengapa beliau tidak mempercayai alasan Mastor itu, beliau berkata: "Saya tidak percaya kerana saya telah berpisah pada tahun 2004 secara aman tanpa berlaku sebarang konflik rumahtangga. Oleh yang demikian, saya merasakan kenyataannya tidak boleh dipercayai."
Menceritakan perasaannya ketika Mastor duduk di sebelahnya dalam kapal terbang, Sirul Azhar berkata, timbul perasaan gentar kerana pegawai atasan amat jarang bertemu dan berbual dengannya.
Pada ketika itu beliau masih tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada bekas isterinya.
Menjawab soalan Tun Abdul Majid apakah alasan itu (aduan bekas isteri) terlalu kecil, kerana beliau ada memikirkan sesuatu yang lebih besar dan mengetahui sebabnya, Sirul Azhar berkata: "Saya tidak terlintas ke arah itu."
Katanya, keresahan yang dilihat pada dirinya ketika itu adalah kerana dia memikirkan apa yang berlaku terhadap bekas isterinya yang mungkin telah dibunuh.
Selain itu, katanya, dia menggeletarnya (ketika bersama Mastor) kerana timbul ketakutan atas akibat yang bakal berlaku sekiranya dituduh melakukan jenayah itu (bunuh Altantuya).
Litupan keselamatan
Ketika ditanya bagaimana sekiranya beliau tidak mengikut arahan Mastor dan cuba melarikan diri, Sirul Azhar berkata: "Saya akan ditangkap. Saya cukup bimbang jika saya diambil tindakan disiplin termasuk tindakan buang kerja dan sebagainya."
Menceritakan detik sebelum dibawa pulang ke Malaysia, Sirul Azhar berkata pada ketika itu dia ditugaskan untuk memberi litupan keselamatan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Islamabad, Pakistan.
Dia ditugaskan berada di Islamabad selama 10 hari bermula 31 Oktober hingga 9 November 2006.
Kamarul Hisham: "Sebelum kamu pergi untuk tugasan tersebut, ada kamu mohon untuk keluarkan senjata?"
Sirul Azhar: " Ya, ada. Saya ada mohon senjata pada 30 hb, sehari sebelum berlepas ke Pakistan. Senjata jenis Glock 9mm."
Kamarul Hisham: "Selepas dapat senjata, adakah mengikut prosedur UTK, kamu harus simpan senjata hingga selesai tugas?"
Sirul Azhar: " Ya."
Kamarul Hisham: "Pagi 5 Nov 2006, di manakah kamu dan apa tugasan kamu?"
Sirul Azhar: "Pada pagi itu saya ditugaskan sebagai pengawal peribadi kepada YAB PM. Ketika itu saya sedang bertugas di dalam sebuah hotel di Islamabad. Pada ketika itu YAB PM sedang mengadakan satu persidangan dalam sebuah bilik hotel. Kemudian saya mengawal di bahagian luar bilik berkenaan. Semasa itu, tiba-tiba datang seorang pegawai iaitu DSP Fisol, meminta saya supaya naik ke atas bilik untuk menyediakan makanan kepada seorang Datuk. DSP Fizol minta saya buat penyerahan tugas. Kemudian saya bergegas naik ke bilik hotel.
"Saya dapati rakan sekerja sedang siap tunggu pertukaran kerja dibuat dan saya telah dapat tahu dari rakan sekerja yang mahu menerima tugas itu supaya menyerahkan senjata api iaitu pistol milik saya kepada beliau di atas arahan ASP Azani. Saya tiada senjata api lain selain pistol itu," katanya.
Tonton TV
Sirul Azhar berkata, selepas menyerahkan pistol itu dia telah menonton TV dan pada ketika itulah Mastor mengetuk biliknya dan terus masuk bersama dua lagi anggota UTK.
Katanya Mastor mengarahkannya membawa pulang baju sehelai sepinggang dan urusan yang lain (termasuk pakaian) akan diserahkan kepada rakan setugas untuk dibawa pulang ke Malaysia kemudiannya.
Sirul Azhar, yang telah berkhidmat selama 11 tahun dengan UTK, berkata sepanjang perkhidmatannya dia tidak pernah mengingakari arahan dan sentiasa akur tanpa sebarang persoalan atas arahan ketuanya.
Katanya, ketika perjalanan pulang, mereka telah berhenti di Lahore dan Bangkok. Pada ketika itu dia telah dikawal ketat termasuk diekori ketika ke bilik air.
Ketika tiba di Malaysia pula, dia diiringi oleh tujuh pegawai UTK mulai dari pintu keluar kapal terbang sehinggalah ke kenderaan yang membawanya ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
"Sekiranya dari hotel di Islamabad, saya disuruh naik teksi seorang diri ke airport untuk pulang ke Malaysia, saya akan berbuat begitu. Saya tetap akan pulang ke Malaysia tanpa dikawal dan dijaga sepertimana arahan Mastor dan saya tidak akan lari walau di mana-mana sama ada Islamabad, Lahore atau bangkok," katanya ketika menjawab soalan Tun Abdul Majid.
Sirul Azhar turut memberitahu mahkamah bahawa ketika perbualannya bersama Mastor berlaku, dia dapat mendengar dengan jelas dan tiada sesiapa yang duduk di kerusi berhampiran dengannya dalam pesawat dan pertanyaan Mastor mengenai penglibatannya dalam pembunuhan wanita Mongolia itu hanya terhenti apabila makanan dihidangkan.
Hakim Mohd Zaki Md Yasin menetapkan Isnin ini untuk semua pihak membuat hujahan bagi perbicaraan dalam perbicaraan itu.

