Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JKSM: Keputusan kes Nik Elin kukuhkan perundangan Islam di Malaysia

Keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 pada Jumaat lepas, hanya kerana ia melangkaui bidang kuasa yang diberikan kepada Badan Perundangan Negeri (DUN).

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini menjelaskan bagaimanapun, perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam masih menjadi suatu kesalahan di bawah hukum syarak.

“Kesalahan yang sama masih boleh diambil tindakan penguatkuasaan di bawah undang-undang yang berkaitan seperti liwat di bawah Kanun Keseksaan dan perbahasaan halal di bawah Akta Perihal Dagangan.

“Keputusan ini juga daripada satu segi boleh disifatkan sebagai pengukuhan terhadap perundangan Islam di Malaysia apabila Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya menyatakan bahawa hukuman takzir yang terdapat dalam Mahkamah Syariah adalah selari dengan Kanun Keseksaan di Mahkamah Sivil, dan indikasinya menunjukkan bahawa telah wujud pengharmonian antara bidang kuasa Sivil dan Syariah,” menurut kenyataan itu.

Justeru, keputusan berkenaan memberi maksud bahawa DUN berperanan untuk memastikan setiap enakmen yang digubal tidak melampaui kuasa yang ada padanya sebelum sesuatu peruntukan digubal.

Pada Jumaat lepas, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan meliputi kesalahan sama.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu dalam petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen berkenaan.

Dalam pada itu, JKSM turut menepis kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa kesalahan berkhalwat dan minum arak tidak termasuk dalam kategori kesalahan yang diisytiharkan oleh mahkamah sebagai tidak sah dan terbatal.

Menurut JKSM, bagi kesalahan sumbang mahram, apabila mahkamah mengisytiharkan ia tidak sah dan terbatal, tidak bermakna sumbang mahram tidak lagi menjadi kesalahan bagi orang Islam di Kelantan, sebaliknya ia tidak sah kerana undang-undang terbabit telah diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan yang merupakan undang-undang Persekutuan.

“Jika orang Islam di Kelantan melakukan kesalahan sumbang mahram, kesalahan itu boleh dibicarakan di Mahkamah Sivil. Malah, hukuman yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan juga lebih tinggi, berbanding dengan hukuman yang diperuntukkan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan,” menurut kenyataan itu.

JKSM turut menjelaskan bahawa keputusan mahkamah dalam kes Nik Elin Zurina hanya melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri yang boleh menggubal undang-undang bagi kesalahan berkenaan dan tidak bermakna orang Islam di Kelantan tidak boleh dikenakan hukuman kerana melakukan kesalahan terbabit.

“la hanya tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah, namun boleh dibicarakan di Mahkamah Sivil.

“Secara tidak langsung, dengan adanya peruntukan di bawah Kanun Keseksaan juga, kesalahan itu boleh dipertuduhkan kepada tertuduh dalam kalangan orang Islam dan orang bukan Islam.

“Contohnya, kesalahan muncikari apabila OKT (Orang Kena Tuduh) orang Islam bekerjasama dengan OKT bukan Islam, kedua-duanya boleh dibicarakan di Mahkamah Sivil. Berbanding jika kesalahan dibicarakan di Mahkamah Syariah, hanya orang Islam yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah. Orang bukan Islam tidak tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” menurut JKSM.

- Bernama

Lihat Komen
ADS