Projek kontroversi insinerator di Broga bernilai RM1.5 bilion telah dibatalkan. Penduduk Kampung Broga di Semenyih mendapat pengesahan tersebut melalui sepucuk surat dari pihak kerajaan.

Hari ini, surat tersebut dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendengar saman penduduk terbabit yang menuntut kerajaan mendedahkan sepenuhnya maklumat mengenai projek tersebut.

Bagaimanapun, ekoran perkembangan terbaru itu, penduduk berkenaan kini bersetuju untuk tidak meneruskan saman tersebut, yang difailkan pada 2003, dalam tempoh tujuh hari.

Projek insinerator itu dianggap salah sebuah yang terbesar di rantau ini.

Pelaksanaannya telah ditentang oleh para penduduk di situ yang bimbang dengan kesan bahayanya terhadap kesihatan mereka.

Keputusan kerajaan membatalkan projek tersebut merupakan satu kemenangan besar bagi penduduk di situ yang selama ini tidak pernah putus asa menentang pelaksanaannya.