Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan korporat telah menyokong perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak era reformasi tercetus pada 1998.

Bagaimanapun, kata ketua PKR itu, mereka tidak tampil ke depan atas pelbagai sebab tertentu, termasuk kerana kepentingan kerjaya mereka ketika itu.

"Tan Sri Khalid Ibrahim (setiausaha agung PKR) telah memberi sumbangan yang besar kepada parti sejak era reformasi tetapi orang tidak kenal kerana dia tidak di barisan depan.

"Kini William Leong (bendahari agung) datang untuk membantu agenda besar kita merubah negara ini menjadi lebih adil kepada semua orang.

"Ini bukanlah bermakna saya mengenepikan orang yang telah lama berjuang bersama-sama kita tetapi parti memerlukan semua orang dari pelbagai golongan," katanya ketika berceramah di depan kira-kira 50 orang di kediamannya di Segambut, malam tadi.

Anwar berkata, beliau menerima sesiapa sahaja yang sanggup berjuang untuk menegakkan prinsip keadilan dan membebaskan negara daripada rasuah.

Menurutnya, suara rakyat adalah suara keramat yang menjadi sebutan dalam era reformasi, tetap menjadi pegangan perjuangan PKR.

Agenda besar ini, katanya, memerlukan gerakan rakyat iaitu semua orang membuat kerja kerana jika wujud puak-puak, maka sampai bila pun parti tidak akan menang.

Krisis ketakutan

"Kita minta semua orang ada sedikit keberanian kerana yang sedang berlaku dalam masyarakat ialah krisis ketakutan sehingga hendak mendengar ceramah pun takut.

"Niat kita adalah untuk menang, dan jika kalah 10 kali pun kita tidak boleh merasa longlai seperti yang berlaku dalam pilihnaraya umum 1999.

"Untuk itu, kita mesti berusaha, berikhtiar dan yakin serta perbetulkan segala kelemahan yang ada selain saling menegur terutama dengan para sahabat.

"Ada yang tidak faham konsep jamaah dan tidak yakin dengan perjuangan menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk tidak bersama kita lagi," katanya.

Beliau berkata, berita orang keluar parti bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku kepada parti PAS di Perak dalam satu pilihanraya kecil pada 1969.

Katanya, setiap hari akhbar menulis ahli PAS keluar parti sehingga menjadi 10,000 orang sedangkan PAS Perak cuma mempunyai ahli 820 sahaja ketika itu.

Baru-baru ini bekas bendahari agung, Abdul Rahman Othman (kanan) dan bekas ketua Angkatan Muda (AMK) Ezam Mohd Noor (kiri) telah mengisytiharkan keluar parti kerana tidak yakin lagi dengan perjuangan parti itu.

Sebelum itu, beberapa pemimpin bahagian PKR Kedah telah bertindak meletakkan jawatan dan seterus keluar parti atas alasan Anwar lebih mengutamakan golongan VIP daripada orang biasa.