Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jho Low dakwa dia ada bukti bertindak atas permintaan Najib - Saksi 1MDB

Bekas penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Low Taek Jho (Jho Low) mendakwa mempunyai bukti yang menunjukkan tindak tanduknya dilakukan atas arahan dan pengetahuan Najib Razak.

Loo berkata Low membuat dakwaan itu kepadanya berikutan laporan media antara 2015 dan 2016 mengenai kemasukan besar dana ke akaun bank bekas perdana menteri itu.

Loo mendakwa selepas membaca artikel media serta laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, dia bertanya kepada Low mengapa begitu banyak wang mengalir ke akaun Najib.

Saksi pendakwaan ke-50 itu yang pernah berada dalam lingkaran kenalan Jho Low mendakwa ahli perniagaan itu memberitahunya bahawa wang berkenaan adalah dana politik untuk BN, khususnya Umno.

“Selepas saya mendesak dan bertanya kepada Jho Low berhubung urus niaga itu, Jho Low meminta saya jangan risau dan dia akan uruskan dan saya tidak perlu ambil sebarang tindakan, kerana dia akan uruskan semuanya.

"Jho Low juga berkata sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, dia mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa apa yang dia lakukan adalah atas permintaan, hasrat dan pengetahuan Najib Razak," katanya di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.

Pada peringkat perbicaraan kes rasuah melibatkan dana RM2.27 bilion 1MDB terhadap Najib, peguam bela utama tertuduh, Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan bantahan terhadap keterangan Loo, atas alasan dengar cakap.

Di bawah undang-undang, keterangan dengar cakap merujuk kepada keterangan berdasarkan apa yang didengar oleh saksi daripada orang lain dan bukannya berdasarkan pengetahuan atau pengalaman peribadi secara langsung.

Sequerah kemudian mencatatkan bantahan pasukan pembelaan, dan Loo meneruskan dengan membacakan kenyataan saksi bertulisnya.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS