Nama saya Revathi untuk selama-lamanya
M Revathi, 29, tetap berpegang teguh kepada agama Hindu walaupun selepas enam bulan ditempatkan di pusat pemulihan akidah oleh pihak berkuasa agama Islam.
M Revathi, 29, tetap berpegang teguh kepada agama Hindu walaupun selepas enam bulan ditempatkan di pusat pemulihan akidah oleh pihak berkuasa agama Islam.
"Nama saya Revathi. Saya mahu pegang kepada nama itu untuk selamanya. Saya mahu gugurkan nama Siti Fatimah," kata Revathi yang memakai pottu (lambang agama Hindu) di dahinya kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Dilahirkan oleh keluarga mualaf Islam dengan nama Siti Fatimah Abdul Karim dia dipanggil Revathi Masoosai oleh neneknya yang membesarkannya.
Dia berkahwin dengan V Suresh pada 2004 mengikut upacara agama Hindu dan kini mempunyai seorang anak perempuan berusia 18 bulan.
Pada bulan Januari tahun ini, Revathi ditahan di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka ketika dia menghadiri perbicaraan permohonannya supaya status agamanya diiktiraf sebagai Hindu.
Dia ditahan di mahkamah dan kemudiannya ditempatkan di pusat pemurnian akidah Baitul Iman di Ulu Yam, Selangor selama enam bulan sehinggalah dia dibebaskan semalam.
Bercakap mengenai pengalamannya ketika berada di pusat tersebut, Revathi mendakwa mengalami 'seksaan mental' tetapi tetap enggan menghadiri kelas agama yang diadakan.
'Program mereka tentang agama sahaja, termasuk kelas sembahyang. Saya tidak pernah hadir langsung. Saya hanya hadir kelas kaunseling. Semasa kaunseling, mereka mahu saya buat ini dan itu. Mereka kata saya mesti ikut undang-undang (agama). Saya cuma buat tak tahu.
"Saya kata saya ada hak untuk pilih agama saya, tetapi mereka jawab jangan bincang tentang hak (saya)," kata Revathi yang kini tinggal bersama ibubapanya yang beragama Islam seperti yang diperintahkan oleh pihak berkuasa agama.
'Banyak yang lari'
Dia mendakwa, walaupun ramai yang lari dari pusat yang 'seolah-olah seperti penjara' itu, tetapi dia tidak berbuat demikian.
"Banyak orang lari dari tempat itu, walaupun itu agama mereka. Walaupun saya seorang Hindu, saya boleh bertahan, sebab saya nak menjaga nama baik agama Hindu," tambahnya.
Ketika ditempat di situ, Revathi tidak dibenarkan dilawati. Ketika mencerita satu-satunya masa dia dapat melihat suaminya ketika dia ditahan di situ, Revathi berkata:
"Walaupun saya tidak dibenarkan bertemu dengan suami saya, saya dapat jumpa dia (berdiri) di luar pagar (pusat itu) tanpa kebenaran mereka. Saya nampak keretanya dan terus lari ke arah pagar itu. Hanya sekali saja (saya dapat melihat dia semasa penahanan). Lepas itu mereka tarik saya dari tempat itu.
"Sebelum itu, tidak terkepung. Sekarang, mereka guna (kepingan) zink untuk menutup kawasan pagar. Sekarang kamu tidak boleh lihat di dalam dan kita tidak tahu siapa ada di luar," tambahnya.
Saat-saat ketika Revathi bertemu suaminya itu, telah dirakamkan oleh stesen Al-Jazeera dan ditayangkan pada 23 April lalu dalam program hal-ehwal semasa Everywoman. [ Lihat video ]
Revathi pada mulanya ditahan selama 80 hari di pusat tersebut tetapi penahanannya itu telah dilanjutkan selama 100 sebanyak dua kali. Semalam dia dibawa ke Mahkamah Syariah Melaka.
'Bazirkan masa'
Dia diperintahkan tinggal bersama ibubapanya dan menghadiri sesi kaunseling. Katanya, dia tidak puashati dengan keputusan mahkamah tersebut.
"Mereka tahan saya selama enam bulan, lepas itu baru cakap saya tidak boleh keluar dari Islam. Kalau macam tu dia patut cakap lebih awal, jadi saya tak payah masuk dalam pusat itu.
"Siapa yang (bagi) gantirugi penahanan saya (selama) enam bulan di sana? Hanya membazirkan masa saya! Saya telah dipisahkan dengan anak dan suami saya. Bagaimana dia akan (bagi) gantirugi," soalnya.
"Saya ada hak untuk memilih agama saya. Dalam masa enam bulan, dia tak boleh buat saya tukar fikiran, bagaimana dia boleh buat sekarang?" tambahnya.
Revathi juga mendakwa para pegawai di pusat tersebut memaksanya supaya bersembahyang, memakan daging lembu dan memakai tudung.
"Kerana kelakuan mereka, saya lagi bencikan Islam sekarang," tambahnya. Berita asal

