Parti Gerakan tidak bercadang menuntut tambahan kerusi dalam pilihanraya umum akan datang, kata pemangku Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Sebaliknya, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, parti itu akan lebih menumpukan kepada usaha untuk memberi khidmat terbaik untuk rakyat.

Katanya, walaupun dari segi realitinya, parti itu telah berkembang di seluruh negara dan bilangan ahlinya juga semakin ramai, tetapi Gerakan tidak terlalu ghairah membuat tuntutan demikian.

"Kita tidak akan tuntut...di mana yang sesuai, perlukan sumbangan dan ada penambahan kerusi, baru kita tawarkan diri, tetapi kita tidak menuntut. Yang penting kita memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terlebih dahulu," katanya selepas merasmikan sidang perwakilan Gerakan Terengganu hari ini.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, penambahan kerusi bukanlah satu keutamaan untuk parti tersebut, sebaliknya Gerakan lebih mementingkan hubungan baik antara parti komponen lain bagi sama-sama menjayakan matlamat BN.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua perwakilan supaya meneruskan kerja dan khidmat kepada rakyat tanpa mengharapkan jawatan penting di peringkat pusat.

Dr Koh berkata, setakat ini Gerakan mempunyai 10 kerusi dalam Parlimen dan 30 kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri.

Dalam ucapan perasmiannya sebelum itu, Koh berkata parti tersebut mempunyai kerusi hampir di semua negeri kecuali Terengganu, Kelantan, dan Perlis.

"Di Terengganu kita tidak mempunyai sebarang kerusi untuk pilihanraya, hanya mempunyai dua wakil dalam Majlis Perbandaran dua dalam majlis daerah.

"Sememangnya tiada permintaan (kerusi untuk Gerakan) dari Terengganu, kerana kita tahu keadaan serta kompisisi penduduknya. Jadi kita galakkan perwakilan supaya teruskan berkhidmat bukan kerana jawatan," katanya.