Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Dr Puad Zarkashi meminta Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim lebih sedar akan strategi PAS “manipulasi sentimen” dalam isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Puad berkata, hujah bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad lebih tepat berbanding Hassan yang berhujah undang-undang itu sebagai manifestasi kehendak rakyat Kelantan. 

Puad memetik Abdul Hamid bahawa tugas mentafsir perlembagaan terletak kepada mahkamah sivil, bukan mahkamah syariah.

"Pada Hassan kita mesti adil pada kerajaan PAS dan rakyatnya yang mahu Islam dilaksana sepenuhnya di negeri itu.

"Selama 34 tahun apa kejayaan PAS dalam perlaksanaan Islam? Cuba Hasan buka mata.

“Sebab itu hujah Tun Hamid lebih fokus dan penting," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Abdul Hamid Mohamad

Hassan mempunyai pandangan yang berbeza dengan pemimpin parti kerajaan terhadap  keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 daripada 18 peruntukan dalam enakmen tersebut.

Hassan yang juga seorang peguam membangkitkan PAS telah mentadbir Kelantan sejak 34 tahun, lapan pilihan raya berturut-turut.

Justeru, katanya, ia adalah manifestasi asas kehendak majoriti rakyat Kelantan.

Sementara Hamid dalam tulisannya semalam berkata mengulangi pendiriannya bahawa “mahkamah sivil mentafsir perlembagaan, mahkamah syariah mentafsir Al-Quran”.

Katanya, pindaan perlembagaan perlu dibuat jika mahu semua undang-undang jenayah Islam ditadbir oleh mahkamah syariah.

Jika tidak, katanya, undang-undang syariah akan terus dipolitikkan.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman untuk membatalkan dalam enakmen tersebut.

Bagaimanapun hanya 16 peruntukan dibatalkan kerana melangkaui kuasa badan perundungan negeri.