Dua pengarah syarikat adik-beradik dan dua setiausaha Credit Tip Off Services Sdn Bhd (CTOS), sebuah agensi pembekal maklumat kewangan, mengaku tidak bersalah di mahkamah di ibunegara hari ini terhadap 85 pertuduhan mengikut Akta Syarikat 1965.

Chung Tze Keong, 52 dan adiknya, Chung Tze Wen, 49, selaku pengarah Data Systems Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan gagal membentangkan akaun untung dan rugi syarikat bagi tahun kewangan 2005, demikian menurut laporan Bernama.

Mereka didakwa melanggar Seksyen 169 (1) Akta Syarikat 1965, di mana syarikat dikehendaki membentangkan akaun itu dalam tempoh 15 bulan dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan terdahulu.

Kedua-duanya selaku pengarah CTOS EMR Sdn Bhd juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan serupa, iaitu gagal membentangkan penyata untung rugi syarikat itu bagi tahun 2005.

Bagi setiap pertuduhan mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM30,000, jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Hakim Akhtar Tahir membenarkan permohonan ketua pegawai pendakwaan, A Narainasami dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya kedua-dua tertuduh dibicarakan secara bersama. Akhtar turut menetapkan 8 hingga 10 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan.

Bagaimanapun, peguam Ashok Kandiah yang mewakili Tze Keong dan Tze Wen membantah permohonan Narainasami itu kerana ia melibatkan syarikat yang berbeza.

17 lagi tuduhan

Berikutan itu, Akhtar menetapkan 12 Julai ini bagi kedua-dua pihak membuat hujahan sebelum mahkamah membuat keputusan mengenainya.

Sementara itu, Tze Keong dan Tze Wen, yang masing-masing menghadapi 17 lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Syahrin Jeli Bohari.

Masing-masing menghadapi 12 pertuduhan kerana gagal memfailkan penyata tahunan syarikat dari tahun 2003 hingga 2005, tiga pertuduhan gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan dan dua pertuduhan gagal memfailkan penyata kewangan syarikat.

Sementara itu, dua setiausaha syarikat CTOS, Chiam Tow Loon, 52, dan Loeonie Lee Shuet Fong, 42, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan kerana gagal memfailkan penyata tahunan syarikat.

Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan lagi iaitu gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan syarikat.

Tze Keong dan Tze Wen, yang mewakili CTOS Sdn Bhd, juga mengaku tidak bersalah kepada empat pertuduhan yang dihadapi syarikat kerana gagal memfailkan penyata tahunan syarikat, satu pertuduhan gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan dan satu lagi pertuduhan gagal mempamerkan nama syarikat.

Notis singkat

Kedua-dua beradik itu juga mengaku tidak bersalah kepada beberapa pertuduhan serupa yang dihadapi oleh CTOS Data System Sdn Bhd dan CTOS EMR Sdn Bhd.

Tze Keong dan Tze Wen, yang juga mewakili CTOS Business System Sdn Bhd, meminta dibicarakan atas pertuduhan kegagalan syarikat itu mempamerkan nama syarikat.

Majistret Syahrin menetapkan 2 Ogos ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan berhujah berhubung permohonan pegawai pendakwa SSM, Iskandar Zulkarnain untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Sesyen.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Ashok berkata, pegawai SSM hanya menyerahkan notis saman untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen kepada kedua-dua anak guamnya lewat petang semalam.

Katanya, kedua-dua anak guamnya juga terkejut kerana tidak mengetahui bahawa mereka juga menghadapi kes di Mahkamah Majistret kerana notis samannya hanya diserahkan kepada mereka setelah mereka tiba di mahkamah pagi ini.

"Tze Wen dan Tze Keong tidak begitu puas hati dengan cara dan masa yang singkat bagi penyerahan notis itu tetapi pihak media telahpun dimaklumkan mengenai pertuduhan yang akan dihadapi oleh mereka terlebih dahulu sebelum tertuduh dimaklumkan mengenai perkara tersebut," katanya.