Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undang-undang syariah: N Sembilan rujuk ketetapan jawatankuasa khas
Diterbitkan:  Feb 16, 2024 10:36 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

Sebarang perkara berkaitan memperkasa undang-undang syariah di Negeri Sembilan akan dibuat berpandukan kepada ketetapan jawatankuasa khas dibentuk Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata setakat ini tiada keperluan mewujudkan jawatankuasa di peringkat negeri bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Kerajaan negeri yakin apa yang kerajaan Persekutuan lakukan melalui MKI sudah mencukupi untuk kita rujuk keputusan selepas ini, kesan atau tindakan yang perlu diambil di peringkat negeri.

“Saya yakin (ketetapan itu) akan lebih tersusun dan berharap (pada) masa akan datang, berapa undang-undang yang ingin dibawa di peringkat negeri atau enakmen lebih mudah dan teratur, kerana ada panduan,” katanya.

Aminuddin demikian selepas majlis penutupan dan penyampaian hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan yang disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi malam tadi.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara dan perlu sentiasa didukung oleh rakyat.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI bertitah dalam menangani isu berbangkit kini, yang penting ialah usaha mencari jalan mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi badan perundangan negeri menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam itu ditubuhkan atas titah baginda semasa mesyuarat MKI kali ke-70 pada 28 Ogos tahun lepas.

Sultan Sharafuddin bertitah jawatankuasa khas berkenaan diberi tempoh setahun dari tarikh ia ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS