Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tahan Ratu Naga 
Diterbitkan:  Feb 16, 2024 12:44 PM
Dikemaskini: 5:26 AM
  • Dikemas kini dengan komen tambahan peguam Ratu Naga berkaitan status ‘tangkapan’ anak guamnya.


SPRM menahan aktivis politik Syarul Ema Rena Abu Samah atau Ratu Naga selepas menyerbu rumahnya di Kuala Lumpur pagi ini.

Suaminya Ezad Zainal berkata, lima pegawai badan antirasuah itu tiba di rumah mereka di Jalan Klang Lama sebelum jam 9.30 pagi dan menggeledah kira-kira 20 minit.

Katanya, SPRM turut merampas telefon bimbit dan laptop serta membawa Syarul Ema ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Ezad dan peguam mereka Nabila Khairuddin mendakwa SPRM enggan mendedahkan sebarang maklumat termasuk sebab penangkapannya.

“Dia (pegawai) hanya beritahu saya supaya berjumpa dengannya di ibu pejabat SPRM dan saya sekarang dalam perjalanan ke sana,” katanya kepada Malaysiakini pada jam 11 pagi tadi.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan kes itu berkata Syarul Ema ditangkap bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan dakwaan aktivis Bersatu Badrul Hisham Shaharin  terhadap setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa Shamsul, melalui proksi, menyalahgunakan dana NGO.

Shamsul menafikan perkara itu dan mahu mengambil tindakan undang-undang.

Azam Baki

Ketua Pengarah SPRM Azam Baki ketika dihubungi Malaysiakini Berkata Ratu Naga tidak ditangkap tetapi dipanggil untuk rakaman percakapan.

“Kita cuba panggil dia rakam kenyataan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 16 Akta SPRM,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Penjelasan Azam itu bagaimanapun dipertikaikan peguam Syarul Ema.

“Rumah diserbu pagi ini dan dia diambil dan dibawa dengan kereta SPRM ke Putrajaya. Dia dinafikan akses kepada peguam dan suaminya oleh pegawai penyiasat. Ini jelas satu tangkapan.

“Tidak masuk akal ketua SPRM kata ini bukan tangkapan dan ia sama sekali bertentangan dengan fakta sedia ada,” kata Nabila.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS