Konfusianisme galakkan kahwin - Sim pertahan gesaan Cina lahirkan ramai anak
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mempertahankan gesaannya agar masyarakat Cina Malaysia berkahwin dan memiliki anak.
Memetik ajaran Konfusianisme, Sim berkata ajaran ahli falsah China itu menggalakkan manusia berkahwin supaya dapat menguruskan negara dengan baik.
"Apabila anda mempunyai keluarga yang stabil, negara akan maju," katanya kepada Malaysiakini.
Ayat Konfusianisme yang dipetik Sim berbunyi “untuk menyusun dunia, kita mesti menyusun negara dahulu; untuk mengatur negara, kita mesti menyusun keluarga dahulu; untuk mengatur keluarga, kita mesti terlebih dahulu memupuk kehidupan peribadi kita; kita mesti betulkan hati kita dahulu.”
Bagaimanapun, petikan dari The Great Learning atau Daxue tidak menyebut secara jelas keperluan untuk berkahwin dan mempunyai anak untuk "menyusun negara".
Pada 13 Februari lalu, Sim melalui media sosial berkata penurunan jumlah orang Cina di Malaysia mungkin menjejaskan kelangsungan sekolah vernakular Cina.
Dia juga beberapa kali menyiarkan hantaran pada 12, 14 dan 15 Februari bagi menggalakkan orang Cina berkahwin dan mempunyai anak.
Namun data menunjukkan kadar kesuburan rakyat Malaysia sebenarnya menurun secara keseluruhan.
Ditanya mengapa dia hanya menumpukan kepada masyarakat Cina, Sim berkata dia menggalakkan semua etnik berkahwin dan mempunyai lebih ramai anak untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Bagaimanapun, dia secara khusus menyasarkan masyarakat Cina kerana kadar kelahiran mereka adalah yang paling rendah.

Mengulas lanjut, Sim menegaskan bahawa salah satu cabaran Malaysia ialah penurunan kadar kelahiran dan perkahwinan, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina - yang lebih cepat menua berbanding kumpulan etnik lain.
Dalam usaha mempromosikan pembangunan politik, ekonomi, budaya dan pendidikan tempatan, Sim berkata dia menggalakkan masyarakat Cina Malaysia untuk berkahwin dan mempunyai anak.
Tambahnya, dalam politik, hanya mereka yang mempunyai angka mencukupi boleh menggunakan pengaruh politik dan mengambil bahagian dalam membentuk dasar dan pembangunan.
"Jika anda mahu bersuara, anda perlu mempunyai jumlah individu yang mencukupi," kata pemimpin PKR itu.
Dari sudut ekonomi, Sim berkata jika majoriti penduduk adalah warga emas dan kuasa beli mereka berkurangan, ia akan memberi kesan kepada ekonomi.
Tanpa golongan muda yang mencukupi, dia berkata negara akan kekurangan tenaga kerja utama yang diperlukan untuk memacu ekonomi ke hadapan, serta mempromosikan warisan budaya dan pendidikan.
"Golongan muda, dengan pekerjaan dan pendapatan, adalah mereka yang membawa tenaga ekonomi. Orang tua dan pesara biasanya bergantung kepada simpanan dan pencen mereka - di mana kadar penggunaan mereka tidak tinggi."
Kurang pekerja, kurang cukai
Sim menjelaskan bahawa jika populasi berkurangan, Malaysia akan kekurangan pembayar cukai - yang bermakna kurang wang dalam tabung negara untuk menanggung kos penjagaan kesihatan awam dan pencen.
“Ringkasnya, kita perlukan cukai, kan? Dengan pertumbuhan ekonomi dan golongan muda bekerja serta membayar cukai, Malaysia mampu menampung persaraan.
"Jika Malaysia kekurangan pembayar cukai muda, hasil cukai akan berkurangan, membawa kepada pengurangan kemudahan penjagaan kesihatan kita," tegasnya.
Pada hantaran di media sosial Sim, sesetengah netizen berpendapat perkajwinan dan keputusan mempunyai anak merupakan pilihan peribadi.
Mengulas pendapat berkenaan, Sim mengakui penting untuk menghormati pendapat dan pilihan orang lain.
Dia menegaskan Malaysia memiliki masyarakat terbuka di mana semua individu boleh meluahkan pendapat mereka, dan melalui pertembungan idea, keputusan boleh dicapai.
Dia juga mengalu-alukan lebih ramai individu mencadangkan penyelesaian bagi isu penurunan kadar kelahiran di Malaysia.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/ea9460b04fbfcdbdea509d17340f5c3f.jpg)
