Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin secara terbuka menggesa supaya generasi muda diberi peluang menjadi calon dalam pilihanraya umum akan datang.

Dalam politik, katanya, usaha perlu dilakukan untuk sentiasa menyegarkan parti dan kerajaan dengan tenaga baru.

"Selaras dengan usaha kita untuk memperkenalkan muka-muka baru (generasi muda), saya harap kita akan diberi ruang untuk menjadi calon.

"Tidak semestinya Pemuda, tetapi juga di kalangan Wanita, Puteri dan Umno induk. Tidak semestinya muka baru itu generasi muda tetapi mungkin mereka yang sudah muncul, sedia dan sebagainya.

"Kita serah kepada pucuk pimpinan untuk penentuan calon," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Pemuda dan Wanita Umno Bahagian Rasah di Seremban malam tadi.

Menurut laporan Bernama, Khairy berharap peluang seperti yang diberikan kepada generasi muda untuk menjadi calon semasa pilihanraya umum 2004, dapat diteruskan.

Bernama juga melaporkan bahawa Putera Umno mahu menjejaki 30,000 pelajar tercicir di seluruh negara untuk memberi mereka bimbingan dan latihan dalam mendapatkan pekerjaan.

Latih pelajar tercicir

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata ia akan dibuat dengan bantuan Pemuda Umno bahagian, dengan kerjasama 45 kolej yang ada di negara ini, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan.

Semalam, beliau meninjau persediaan 50 belia yang menjalani latihan program ke Gunung Nuang, Hulu Langat untuk mendaki Gunung Kinabalu, Ogos ini sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan.

Abdul Azeez berkata Putera Umno turut memeterai perjanjian dengan beberapa syarikat automotif termasuk Perodua, Proton dan Honda bagi membantu pelajar mendapat pekerjaan.

Selain automatif terdapat, lima bidang lain yang turut diberi perhatian oleh Putera Umno iaitu perhotelan, kimpalan, paramedik, teknologi maklumat dan pelancongan.

Abdul Azeez berkata Putera Umno berharap melalui program itu seumpama itu, golongan belia negara ini dapat dihantar ke negara-negara Teluk selepas tamat latihan kerana gaji yang ditawarkan di sana umpamanya dalam bidang paramedik amat lumayan.

"Harapan Putera Umno ialah agar pemuda hari ini berhijrah dari segi mentaliti agar menjelang tahun 2020 mereka mampu menghadapi cabaran semasa," katanya.