Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, walaupun negara telah mencapai kemerdekaan sejak 50 tahun lalu, tetapi rakyat masih hidup dalam ketakutan.

"Kemerdekaan tidak bererti jika rakyat tidak boleh menikmati kebebasan sebagaimana yang diisytiharkan oleh (Perdana Menteri pertama) Tunku Abdul Rahman ketika negara merdeka pada 31 Ogos 1957," katanya ketika berceramah di Ampang Indah dekat ibu negara kelmarin.

Sebaliknya, dakwa beliau, walaupun negara telah merdeka, tetapi apa yang kerajaan buat hari ini sama seperti semasa di bawah penjajah.

"Kerajaan mengatakan rakyat perlu mendengar dan mempercayai maklumat yang disebarkan olehnya sahaja, manakala maklumat dari pihak lain (pembangkang) tidak betul.

"Ini yang dilakukan oleh kerajaan melalui media massa yang dikawal oleh mereka. Hanya perkara buruk pembangkang disebarkan, manakala yang buruk kerajaan ditutup," katanya.

Sementara itu, Anwar terpaksa membonceng motosikal dari Jalan Ampang untuk ke Ampang Indah kerana kesesakan lalulintas ekoran sekatan jalanraya oleh pihak polis, di salah satu jalan utama menuju ke tempat ceramah timbalan perdana menteri itu.

Dalam ucapannya itu, Anwar berkata, beliau menjadi jurucakap kepada orang Melayu tetapi turut bertanggungjawab membela kaum Cina dan India.

Banteras rasuah

Bekas timbalan presiden Umno itu mengecam pemimpin Umno yang didakwanya telah menggunakan kedudukan dan kuasa untuk mengaut kekayaan.

Menurutnya, pihak berkuasa meroboh gerai-gerai kecil di tepi jalan milik peniaga kecil tetapi tidak bertindak ke atas kilang haram milik orang kaya.

Anwar berkata, kerajaan lebih gemar melaksanakan projek-projek besar kerana habuan yang diperolehi juga besar.

"Kerajaan kurang berminat meluluskan projek perumahan kos rendah dan sederhana kerana habuan tidak besar seperti projek-projek mewah," katanya.

Katanya, jika pembangkang memerintah selepas pilihanraya umum akan datang, antara langkah pertama yang diambil ialah membersihkan jentera kerajaan dari rasuah.

Sementara itu, Anwar meminta ahli dan penyokong PKR supaya tidak menghiraukan laporan media mengenai ahli keluar parti.

Sebaliknya beliau berkata, orang ramai perlu menjadi ahli PKR untuk menguatkan parti itu dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.