PKR Shah Alam perjelas laporan AJK keluar parti
Naib Ketua PKR Shah Alam, Mohd Harris Bakar menjelaskan bahawa sembilan surat peletakan jawatan ahli jawatankuasa bahagian berkenaan telah dikemukakan dalam mesyuarat bahagian itu pada 4 Julai lalu.
Naib Ketua PKR Shah Alam, Mohd Harris Bakar menjelaskan bahawa sembilan surat peletakan jawatan ahli jawatankuasa bahagian berkenaan telah dikemukakan dalam mesyuarat bahagian itu pada 4 Julai lalu.
Bagaimanapun, tidak ada sebarang surat dari ketua bahagian, Nasir Khan yang dikemukakan dalam mesyuarat tersebut, katanya sebagai mengulas laporan pihak media mengenai perkara itu.
Mohd Harris menjelaskan bahawa beliau telah mempengerusikan mesyuarat tersebut selepas Nasir dan timbalan ketua bahagian, tidak hadir.
"(Bekas setiausaha bahagian) Mohd Nazmi Rosli telah mengemukakan sembilan surat peletakan jawatan. Bagaimanapun tidak ada sebarang surat dari Ketua bahagian, Nasir Khan dan Naib Ketua bahagian, Tan Ah Kow yang diserahkan kepada mesyuarat tersebut.
"Surat pengarah pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Salehhin Hassan dengan jelas menyatakan beliau terpaksa meletakkan jawatan kerana masalah kesihatan yang serius dan memerlukan rawatan berterusan," kata Mohd Harris dalam satu kenyataan.
Daripada sembilan surat tersebut, katanya, hanya seorang, iaitu Abdul Rashid Mukti yang menyatakan beliau keluar parti.
"Selain itu, SD Johari Yassin membuat kenyataan lisan bahawa beliau keluar parti tanpa menyerahkan sebarang surat," tambahnya.
Masih komited
Menurut Mohd Harris lagi, mesyuarat itu memutuskan bahawa bahagian Shah Alam terus berfungsi seperti biasa.
"Ianya tidak menjejaskan kelangsungan perjalanan bahagian memandangkan majoriti AJK bahagian, daripada jumlah keseluruhan 29 orang, masih komited," katanya.
Sehubungan itu, katanya, PKR Shah Alam kesal dengan laporan beberapa akhbar minggu lalu bahawa pemimpin-pemimpin bahagian tersebut telah bertindak keluar parti.
"Selain Abdul Rashid Mukti dan SD Johari Yassin, kesemua mereka yang meletakkan jawatan, tidak keluar parti.
"Nasir Khan, Tengku Ahmad Tengku Kassim, Tan Ah Kow, Rozali Bakar dan Salehhin Hassan, apabila dihubungi, telah dengan jelas dan tegas menyatakan mereka tidak keluar parti dan akan terus memberikan sumbangan sebagai ahli biasa.
"Selain itu, Mohd Nazmi Rosli tidak seharusnya dipetik lagi oleh media massa sebagai setiausaha PKR bahagian Shah Alam kerana di dalam suratnya, peletakan jawatannya berkuatkuasa dari tarikh surat tersebut pada 3 Julai 2007.

