Kerajaan hari ini membatalkan dengan serta merta kenaikan harga beras di peringkat pemborong yang diumumkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) minggu lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata harga beras kini kekal pada kadar yang ditetapkan sebelum pengumuman tersebut, demikian menurut laporan Bernama.

Bernas mengumumkan kenaikan harga beras di peringkat pemborongan berkuatkuasa 1 Julai membabitkan antara 5 sen dan 10 sen sekilogram bagi beras putih, beras wangi dan beras basmati serta 20 sen sekilogram bagi beras pulut atas alasan kenaikan harga beras di pasaran antarabangsa serta kenaikan kos kendalian.

Bernas perlu berunding dan memohon keizinan daripada kementerian bagi sebarang kenaikan harga beras untuk semua kategori, kiranya perlu, katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur.

"Mereka tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya," tegas beliau.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan Bernas berkata, kenaikan harga beras ekoran kos pengendalian dan kos bahan api yang memberi kesan secara langsung terhadap kos perkapalan sebanyak 30 hingga 50 peratus sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Bagaimanapun, dalam kenyataan tersebut, Bernas menganggap kesan kenaikan harga beras terhadap pengguna amat minimum.

Bernas juga mengesahkan laporan akhbar mengenai kenaikan harga borong beras putih, beras wangi, beras basmati dan beras pulut atas alasan kenaikan harga beras di pasaran antarabangsa serta kenaikan kos pengendalian.

Kenaikan harga di peringkat pemborongan itu berkuatkuasa 1 Julai membabitkan antara 5 sen dan 10 sen sekilogram bagi beras putih, beras wangi dan beras basmati manakala 20 sen sekilogram bagi beras pulut.

Sementara itu, dalam reaksinya, Bernas akur dengan keputusan kerajaan membatalkan kenaikan harga beras di peringkat pemborongan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bernas mengatakan syarikat itu akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam permohonan kenaikan harga beras di masa hadapan.