Peguam: Sirul keliru semasa didakwa buat pengakuan
Korporal Sirul Azhar Umar disifatkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini sebagai robot, dalam keadaan keliru dan tertekan dari segi emosi, semasa dia didakwa membuat pengakuan kepada ketuanya mengenai penglibatannya dalam pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Korporal Sirul Azhar Umar disifatkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini sebagai robot, dalam keadaan keliru dan tertekan dari segi emosi, semasa dia didakwa membuat pengakuan kepada ketuanya mengenai penglibatannya dalam pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Peguamnya, Kamarul Hisham Kamaruddin, berhujah bahawa Sirul Azhar bukannya seorang yang berperwatakan biasa dan dia tidak akan faham jika dikemukakan tiga soalan kepadanya sekaligus, demikian menurut laporan Bernama.
Beliau berkata mahkamah tidak patut menerima pengakuan itu sebagai bukti kerana Sirul Azhar, dari Unit Tindakan Khas, tidak memberikannya atas kehendaknya sendiri kepada timbalan komander skuad itu ACP Mastor Mohamed Ariff, semasa penerbangan mereka dari Bangkok ke Kuala Lumpur pada 6 November tahun lalu.
Kamarul Hisham berkata pengakuan itu tidak diberikan secara sukarela dan diambil secara paksa kerana Sirul Azhar ketika itu dalam keadaan tidak keruan, risau yang teruk dan menghadapi tekanan mental dalam perjalanan kapal terbang kembali ke Kuala Lumpur.
Ini kerana Mastor dalam keterangannya telah membayangkan bahawa Sirul Azhar harus memberitahunya perkara yang benar dan beliau (Mastor) akan menyoalnya bertalu-talu sehingga beliau mendapatkan jawapan, kata beliau.
Kamarul Hisham menyampaikan hujah itu pada akhir perbicaraan dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada pengakuan Sirul Azhar kepada Mastor diberikan secara sukarela.
Sirul Azhar, 35, dituduh bersama Cif Insp Azilah Hadri, 30, membunuh Altantuya, 28, di satu lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, pada jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Turut berada di kandang tertuduh ialah penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, yang dituduh bersubahat dengan mereka untuk membunuh Altantuya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam 19 Oktober.
Sewaktu perbicaraan dalam perbicaraan itu, ACP Mastor memberi keterangan bahawa pada 6 November tahun lalu, beliau telah diarahkan untuk membawa Sirul Azhar, yang ketika itu ditugaskan memberikan kawalan keselamatan kepada Perdana Menteri di Pakistan, pulang ke Malaysia.
Beliau telah memberitahu Sirul Azhar bahawa beliau terpaksa membawanya pulang ke Malaysia untuk menjaga nama baik pasukan polis kerana bekas isteri Sirul Azhar telah mebuat laporan polis terhadapnya.
Mastor turut mengakui bahawa itu bukan sebab sebenar beliau membawa pulang Sirul Azhar kembali ke Malaysia dan bahawa beliau kemudian memberitahu koporal itu yang beliau akan memberitahunya sebab sebenar apabila mereka singgah di Bangkok sebelum ke Kuala Lumpur.
Kamarul Hisham berkata: "ACP Mastor telah pergi kepada tertuduh (SirulAzhar) dan memberitahunya satu pembohongan. Semasa memberitahunya demikian, apa agaknya keadaan mental tertuduh ketika itu?
"Katanya dia tidak percaya akan alasan itu. Dia bimbang bahawa sesuatu telah berlaku terhadap bekas isterinya, yang mereka (polis) tidak memberitahunya. Dia dalam keadaan risau yang serius, dia bimbang bahawa kemungkinan bekas isterinya telah mati."
Peguam itu berkata bahawa Sirul Azhar adalah seorang yang keliru. "Dia tidak dapat menjelaskan keadaan pemikirannya kepada mahkamah. Saya telah bertanyakan soalan yang begitu mudah dan dia (Sirul Azhar) telah keliru dan gelisah.
"Sirul Azhar keliru apabila Mastor memberitahu dia di dalam kapal terbang bahawa dia (Sirul Azhar) telah membunuh seorang wanita," katanya.
Tambahan pula, Mastor, pegawai tingginya, telah memberikan arahan dalam nada memerintah kepada Sirul Azhar supaya "mendedahkan semua dan segalanya" katanya sambil menegaskan bahawa anak guamnya itu tidak berupaya memikirkan akibatnya.
Beliau berkata kata-kata Mastor kepada Sirul Azhar supaya mengatakan yang benar kerana "segalanya telah didedahkan dan tiada apa yang perlu disorokkan" lebih merupakan ancaman dan dorongan.
"Dalam pemikiran Sirul Azhar, jika dia berkata sesuatu...mungkin dia tidak akan didakwa," kata Kamarul Hisham.
Sambil menggariskan lima asas bantahan terhadap penerimaan pengakuan Sirul Azhar, Kamarul Hisham berkata Mastor pergi dengan satu tujuan khusus ke Islamabad, Pakistan, untuk membawa seorang suspek ke muka pengadilan dan berniat untuk mendapatkan satu pengakuan daripada Sirul Azhar yang boleh digunakan terhadapnya di mahkamah undang-undang.
"Kita mempunyai di sini seorang yang mempunyai misi khusus untuk mendapatkan satu pengakuan dan seorang yang mempunyai pengetahuan mengenainya lebih awal."
Beliau juga berhujah bahawa pengakuan Sirul Azhar tidak boleh diterima kerana dia telah ditahan polis dan tidak diberikan amaran mengikut Seksyen 113 Kanun Prosedur Jenayah, seperti yang diwajibkan.
Menurutnya lagi, keterangan yang menunjukkan bahawa Sirul Azhar sentiasa dikawal atau diawasi sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, bagi mengelak daripada dia melarikan diri, menunjukkan kebebasannya telah dihalang.
"Oleh itu penyerahan senjata dan pasport atas `arahan', aturan tempat duduk, diiring ke tandas, amat jelas menunjukkan pengawasan dan sekatan. Dia malahan telah diminta untuk memakai beg sandang untuk tujuan taktikal dan hakikat bahawa satu pasukan telah sedia menunggu di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL), kawalan konvoi ke IPK (ibu pejabat kontinjen) duduk diapit oleh dua pegawai, kesemuanya membuktikan bahawa dia di bawah jagaan," katanya.
Beliau berhujah bahawa jika mahkamah tidak memutuskan Sirul Azhar bukan ditahan, maka Sirul Azhar sebenarnya di bawah jagaan pegawai polis dan oleh itu tidak harus ada pengakuan dibuat kecuali ia dilakukan di hadapan majistret atau hakim.
Beliau berkata pendakwaan sepatutnya memanggil dua saksi penting -- dua pegawai polis yang bersama Sirul Azhar semasa perjalanan pulang ke Kuala Lumpur -- untuk menunjukkan bahawa tidak berlaku ancaman, dorongan, janji atau tekanan dikenakan terhadap Sirul Azhar.
Kegagalan berbuat demikian membawa padah kerana pendakwaan gagal untuk menunjukkan bukti secara kukuh bahawa Sirul Azhar telah membuat pengakuan itu dengan sukarela, katanya.
Beliau berkata mahkamah patut melihat keseluruhan keadaan untuk menyangkal adanya keadaan tertekan, bukan hanya khusus pada masa kenyataan itu dibuat.
Kamarul Hisham seterusnya menegaskan bahawa jika Sirul Azhar di bawah tahanan polis, maka dari saat Mastor cuba mendapatkan sebarang kenyataan yang boleh membuktikan dia bersalah, daripada Sirul Azhar, beliau telah meletakkan dirinya sebagai seorang pegawai penyiasat dan oleh itu kenyataan itu harus dirakamkan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (kenyataan saksi) di mana Sirul Azhar mempunyai peluang untuk meneliti, membetulkan dan menandatangani dokumen itu.
Sementara itu peguam Abdul Razak, Wong Kian Kheong, berhujah bahawa amaran mengikut seksyen 113 CPC adalah perlu kerana terdapat penyerahan jagaan apabila Sirul Azhar akur balik ke Malaysia dan juga berlaku pengurungan dari kereta ke KLIA dan dikawal oleh Mastor serta dua orang pegawai polis lain.
Beliau berkata pendakwaan perlu membuktikan ketiadaan syak yang munasabah berkenaan kerelaan Sirul Azhar memberikan kenyataan kerana jika timbul syak yang munasabah, mahkamah boleh menolak kenyataan itu.
Sebelum perbicaraan itu dimulakan, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membenarkan permohonan Kamarul Hisham bagi mahkamah tidak bersidang pada Jumaat untuk membolehkan peguam bela berjumpa dengan anak guam masing-masing.
Timbalan Pendakwa raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah tidak membantah.
Manakala Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah pula, dalam hujahnya berkata, pengakuan Korporal Sirul Azhar Umar kepada pegawai atasannya berkaitan pembabitan dia dalam pembunuhan Altantuya tahun lalu, bukan dibuat kerana diancam, didorong dan dijanjikan.
Beliau yang mengetuai pihak pendakwaan berkata, tidak ada tuduhan bahawa timbalan komander UTK, ACP Mastor telah mengancam, mendorong atau memberikan
sebarang janji untuk Sirul Azhar membuat pengakuan dan kenyataan itu diterima di bawah Seksyen 24 Akta Keterangan.
Katanya, perkataan yang dikatakan Mastor kepada Sirul Azhar sebelum pengakuan dibuat, sangatlah penting untuk mahkamah mempertimbangkan
seperti apa yang diberitahu oleh beliau (Mastor) adalah kenyataan yang bersahaya.
"Apa Mastor beritahu tertuduh adalah kenyataan yang bersahaya yang diakhiri dengan tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan. Beliau tidak
mengatakan untuk memberitahu kebenaran, atau meminta tertuduh apa yang dia hendak katakan.
"Adalah salah untuk membayangkan bahawa ia bermakna kepada anda lebih baik memberitahu dengan benar. Ia hanya satu kenyataan. Memanglah dia
mengatakan jika dia tidak menjawab, dia akan meneruskan. Tetapi itu tidak berlaku, adalah salah untuk membuat spekulasi," kata Tun Abdul Majid dalam
hujah selama dua jam di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin.
Tun Abdul Majid memberikan penghujahan pada prosiding perbicaran dalam perbicaraan Khamis lalu untuk menentukan penerimaan pengakuan Sirul kepada Mastor, saksi ke-11, dalam pesawat yang dinaiki untuk membawa pulang Sirul dari Pakistan ke Malaysia.
Mastor, dalam keterangan semasa perbicaraan di mahkamah itu minggu lalu, menyatakan bahawa pada 6 November tahun lalu, beliau diarahkan untuk membawa pulang Sirul Azhar, yang pada ketika itu ditugaskan mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pakistan, dibawa pulang ke Malaysia.
Beliau telah memberikan keterangan sebab kepulangan Sirul Azhar kerana bekas isterinya telah membuat laporan polis terhadap dia dan beliau (Mastor) terpaksa membawa pulang Sirul Azhar untuk menyelesaikan masalah itu dan bagi menjaga nama baik pasukan polis.
Mastor juga telah mengakui dalam keterangannya memgenai alasan yang diberikan kepada Sirul Azhar bukanlah alasan sebenar dan beliau (Mastor) kemudian memberitahu dia (Sirul Azhar) sebab sebenar apabila mereka transit di Bangkok dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Dalam penghujahan Tun Abdul Majid hari ini, beliau berkata terdapat satu bebanan keterangan mengenai tertuduh untuk menunjukkan terdapat perihal syak wasangka semasa pengakuan dibuat dan ini hendaklah dilakukan dengan menyoal balas saksi pendakwaan.
"Sepanjang keterangan Mastor, tidak ada tuduhan bahawa dia telah didorong, diancam atau menjanjikan apa-apa kepada tertuduh. Dia tidak pernah disoal balas mengenai isu ini. Kegagalan untuk menyoal balas bermakna itu adalah penerimaan," kata beliau.
Mengenai isu yang dibangkitkan oleh peguambela terhadap tugas pendakwaan untuk memanggil Sarjan Jelima Tasiran dan Kpl Zamri Abu Bakar untuk memberi keterangan, Tun Abdul Majid menjawab bahawa mereka tidak ada tugas untuk memanggilnya kerana mereka bukanlah saksi penting.
"Tidak ada tuduhan terhadap Jelima dan Zamri. Dengan itu kita tidak ada tugas untuk memanggil kedua-duanya untuk memberikan keterangan. Mereka bukan saksi penting pada perbicaraan dalam perbicaraan. Bagaimana mereka boleh menjadi saksi penting kepada pandakwaan, hujah itu tidak bermakna.
"Mastor hanya mengatakan bahawa peranan Jelima dan Zamri adalah hanya mengiringi. Itu tidak dicabar. Tidak ada cadangan atau tuduhan bahawa mereka telah melakukan sedikit dorongan, ancaman dan menjanjikan sebarang janji kepada tertuduh. Ia bukanlah satu tanggungjawab terhadap pendakwaan untuk memanggil mereka," jelasnya.
Tun Abdul Majid memberikan hujah selanjutnya bahawa Sirul Azhar tidak ditangkap, sebagai yang dicadangkan oleh peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin dalam penghujahan beliau pagi tadi, semasa dia dibawa oleh Mastor, Jelima dan Zamri pulang ke Malaysia dari Pakistan pada 6 November 2006.
"Kita tidak menafikan bahawa pergerakan tertuduh diperhatikan. Dia bebas untuk bergerak tetapi untuk ke tandas, dia diiringi. Peguam memberikan hujah bahawa dia sudah ditangkap atau di bawah jagaan.
"Mastor hanya diarahkan untuk membawa dia pulang. Tidak ada tangkapan. Kita telah jelaskan bahawa tidak ada gari," katanya.
Beliau berkata untuk ditangkap, mestilah ada sedikit tanda bahawa tertuduh itu ditangkap dan dengan itu hanya dengan inferens daripada keadaan yang tidak boleh dilakukan.
Tun Abdul Majid juga menjawab kenyataan Kamarul Hisham mengenai penekanan, antara lain tidak ada masa yang cukup diberikan kepada Sirul Azhar, tertuduh diapit dalam kenderaan dan suara Mastor bunyi memerintah kepada tertuduh.
"Mastor hanya berjumpa dengan tertuduh lima jam sebelum masa berlepas. Beliau memberitahu bahawa ia mengambil masa 45 minit ke lapangan terbang, dua jam setengah untuk daftar masuk sebelum masa berlepas. Tertuduh patuh dengan arahan tanpa sebarang soalan walaupun dia tidak mempercayai alasan
yang diberikan.
"Beliau juga tidak mengajar tertuduh untuk memberitahunya apa-apa setelah beliau memberitahu tertuduh alasan sebenar. Beliau menanyakan seperti biasa dengan suara yang memerintah. Beliau tidak memaksa tertuduh menjawab.
"Tidak ada bezanya sama ada beliau bercakap dengan nada lembut atau dengan suara memerintah. Pada hakikatnya beliau ialah seorang pegawai atasan. Adakah itu menjadikan pengakuan tidak boleh diterima?" katanya.
Dalam penghujahan, Tun Abdul Majid mengatakan bahawa Sirul Azhar sendiri memberikan keterangan bercanggah semasa memberikan keterangan pada perbicaraan dalam perbicaraan.
"Tertuduh berasa resah dan menggeletar semasa Mastor memberitahu dia mengenai alasan (membawa dia pulang ke Malaysia). Tertuduh mengakui dia tidak percaya alasan yang diberikan Mastor mengenai bekas isterinya. Dia kata alasan itu sangat remeh-temeh. Dia mengakui mesti ada alasan yang lebih besar.
Sebagai rumusan, Tun Abdul Majid berkata pendakwaan telah melepaskan bebannya dalam membuktikan bahawa pengakuan Sirul Azhar dibuat secara sukarela dan tidak ada dorongan, ancaman atau penekanan yang dibuat oleh saksi terhadap tertuduh.
Hakim Mohd Zaki berkata beliau memberikan keputusannnya mengenai isu itu esok.

