K'jaan beli Sukhoi bukan kerana keselamatan negara terancam, kata Najib
Malaysia membeli 18 pesawat Sukhoi Su-30MKM bukan kerana keselamatan negara terancam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malaysia membeli 18 pesawat Sukhoi Su-30MKM bukan kerana keselamatan negara terancam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, dalam persekitaran yang tidak menentu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga supaya suasana aman tidak diganggu oleh anasir jahat, demikian menurut laporan Bernama.
"Pembelian pesawat SU-30MKM adalah satu proses pemodenan Tentera Udara Diraja Malaysia untuk mempertahankan ruang angkasa negara selaras dengan pembangunan angkatan. Ia ada berhubung kait dengan Doktrin Kuasa Udara yang menggariskan strategi dalam menjaga kepentingan negara," katanya menjawab soalan Bernard S Maraat (BN-Pensiangan) di Dewan Rakyat hari ini.
Najib berkata, sasaran untuk menjadikan ATM sebuah angkatan konvensional yang seimbang, serba boleh dan berwibawa adalah asas perseimbangan pembangunan angkatan dalam memperkasakan pertahanan negara.
Beliau berkata, pembangunan keupayaan ini meliputi aspek keanggotaan, kelengkapan dan persenjataan yang berasaskan kepada Dasar Pertahanan dan Strategi Keselamatan Negara.
Katanya strategi pembangunan keupayaan menjurus kepada keupayaan kombat yang diperlukan dan mempunyai ciri-ciri perseimbangan termasuk kemampuan melaksanakan operasi ketenteraan semasa dan perancangan bagi keperluan operasi masa hadapan, kesiapsiagaan dan modenisasi angkatan serta kemampuan melaksanakan operasi secara bersama.
Menjawab soalan tambahan wakil yang sama berhubung kelengkapan manual operasi dan latihan pengendalian pesawat pejuang berkenaan, Najib berkata, TUDM tidak menghadapi sebarang masalah dalam pengendalian pesawat SU-30MKM kerana latihan kepada juruterbang telah diberikan.
Pada masa ini, terdapat empat juruterbang sedang dilatih di Russia manakala 117 juruteknik dan pegawai lain sedang mengikuti latihan di India, katanya.
Perjanjian pembelian pesawat SU-30MKM bernilai AS$900 juta (RM3.42 bilion) ditandatangani sempena lawatan Presiden Russia, Vladimir Putin, ke Malaysia pada Mei 2003.

