Tian: Najib perlu jelaskan 'hubungan' dengan Altantuya
Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata, beliau tidak akan memohon maaf atau menarik balik gambar palsu yang menunjukkan timbalan perdana menteri sedang makan bersama Altantuya Shaariibuu dan penganalisa politik, Abdul Razak Baginda.
Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata, beliau tidak akan memohon maaf atau menarik balik gambar palsu yang menunjukkan timbalan perdana menteri sedang makan bersama Altantuya Shaariibuu dan penganalisa politik, Abdul Razak Baginda.
Tian mengakui menyiarkan gambar tersebut yang menggunakan teknik pertindihan imej yang dibuatnya sendiri.
"Gambar ini hanya imaginasi saya. Ianya bertujuan untuk mendesak Najib memperjelaskan kaitannya dengan kes tersebut. Saya tidak akan menarik balik gambar tersebut ataupun memohon maaf," kata Tian pada AFP.
Abdul Razak, 47, yang rapat dengan Najib sedang dibicarakan atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya Shaariibuu pada Oktober tahun lalu.
Timbalan perdana menteri itu menafikan sekeras-kerasnya sebarang pembabitan dalam kes tersebut yang dilihat oleh para pemerhati sebagai satu ujian terhadap integriti badan kehakiman Malaysia.
Tian Chua juga berjanji akan meneruskan 'serangannya di internet' terhadap Najib yang juga menteri pertahanan.
"Saya mahu pihak berkuasa mengendalikan kes ini secara telus dan untuk Najib menjejaskan hubungannya dengan Altantuya," katanya.
Gambar tersebut disiarkan oleh Tian dalam blognya pada 2 Julai, tiga hari selepas saksi, Burmaa Oyunchimeg, memberitahu mahkamah bahawa dia pernah melihat gambar Altantuya sedang makan bersama Abdul Razak dan seorang pegawai kerajaan Malaysia serta yang lainnya.
Burmaa tidak mengenalpasti pegawai berkenaan sebagai timbalan perdana menteri tetapi berkata Altantuya memberitahunya pegawai itu bernama "Najib Razak."
Berikutan itu, setiausaha akhbar Najib berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang komen mengenainya kerana perbicaraan kes pembunuhan Altantuya sedang berjalan. Dia juga mengulangi bahawa Najib tidak pernah bertemu dengan mangsa tersebut. - AFP

