PAS setiap negeri bebas menggunakan manifesto sendiri, sesuai dengan keperluan dan kehendak masyarakat setempat dalam pilihanraya umum akan datang.

Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, manifesto 'Membangun Bersama Islam' sesuai untuk negeri-negeri majoriti pengundi Melayu seperti Terengganu, Kedah dan Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak sesuai untuk negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

"Ini bermakna negeri-negeri tersebut boleh menggunakan manifesto masing-masing yang sesuai dengan kehendak masyarakat setempat," katanya.

Dalam pilihanraya umum lalu, PAS Pusat menggunakan manifesto Menuju Malaysia Baru manakala tahun 1999, Keadilan Untuk Semua.

Katanya, PAS menyediakan dua manifesto satu untuk peringkat pusat dan satu lagi negeri dalam menghadapi pilihanraya umum.

Manifesto utama

Menurutnya, Kelantan dan Terengganu akan menggunakan manifesto 'Membangun Bersama lslam' sebagaimana yang digunakan dalam pilihanraya sebelum ini.

"Kedah yang juga negeri majoriti pengundi Melayu boleh juga menggunakan manifesto tersebut dalam pilihanraya umum kelak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya, manifesto utama sedang dirangka oleh PAS pusat yang berteraskan kebajikan rakyat, termasuk melaksanakan gaji minima, pendidikan dan kesihatan percuma untuk rakyat yang miskin.

Mustafa menjelaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Ahad lalu bahawa manifesto PAS dalam pilihanraya umum akan datang, mengutamakan kebajikan untuk rakyat.

Dalam sidang media tersebut, bekas menteri besar Terengganu itu juga berkata, PAS tidak akan mengadakan rundingan dengan DAP berhubung pembahagian kerusi untuk pilihanraya umum akan datang.

Sebaliknya, kata beliau, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berunding dengan DAP bagi mengelak pertindihan kerusi antara pembangkang.

Pengagihan kerusi

"Matlamat PAS ialah pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.

"Kita (pembangkang) akan cuba meletakkan semua calon di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya BN tidak menang percuma," katanya.

Abdul Hadi berkata, kebanyakan negeri telah menghantar senarai calon termasuk latar belakang dan kelulusan akademik mereka untuk dipertimbangkan dan diluluskan oleh Majlis Syura parti itu.

Katanya, rundingan antara PAS dengan PKR mengenai pembahagian kerusi pilihanraya masih berjalan dan dijangka selesai sedikit masa lagi.

Abdul Hadi berkata, PAS juga telah mengenalpasti kawasan-kawasan yang akan ditandingi parti itu tetapi kata putus akan dibuat selepas rundingan dengan PKR selesai.