Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis nasihat orang ramai jangan sertai perarakan Bersih
Diterbitkan:  Feb 25, 2024 10:15 PM
Dikemaskini: Feb 26, 2024 2:15 AM

Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai perarakan ke parlimen anjuran NGO Bersih pada Selasa ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang notis berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012 daripada mana-mana pihak yang ingin mengadakan perarakan tersebut.

"Selain itu, perhimpunan tanpa Pemberitahuan Perhimpunan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Justeru, pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi peruntukan undang-undang.

"Tindakan yang tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya pada satu kenyataan malam ini.

Di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perhimpunan mesti memberi polis notis lima hari, dan kegagalan untuk mematuhi boleh dihukum denda sehingga RM10,000.

Dewan Rakyat akan memulakan perbahasan dan penggubalan undang-undang pada Selasa selepas titah perasmian Yang di-Pertuan Agong pada Isnin.

Bersih merancang untuk berarak ke Parlimen pada pagi Selasa untuk menyerahkan memorandum yang menggesa reformasi.

Antara lain, NGO itu mahukan had penggal untuk perdana menteri, perlindungan pemberi maklumat dipertingkatkan dan semakan semula terhadap Akta Hasutan 1948.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS