Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih akan jumpa polis hari ini berhubung himpunan esok
Diterbitkan:  Feb 26, 2024 10:58 AM
Dikemaskini: 2:58 AM

Bersih dijadualkan bertemu polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada jam 1 tengah hari, hari ini, berhubung perarakan ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum menggesa reformasi kerajaan.

Pengerusi Bersih Faisal Aziz memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada polis, selepas Ketua Kolis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata tiada notis difailkan untuk memaklumkan pihak berkuasa mengenai demonstrasi itu, mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.  

"Penyerahan memorandum adalah amalan biasa di negara demokrasi, termasuk Malaysia. Selain itu, PDRM sebelum ini telah membantu dalam memudahkan proses sedemikian walaupun tanpa notis diberikan.

“Apa yang lebih mengejutkan kami ialah kenyataan ini berada di bawah kerajaan reformis.

“Namun, kami berhasrat untuk kemukakan notis tersebut kepada IPD Dang Wangi sekitar jam 1 tengah hari seperti yang dirancang,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Semalam Allaudden menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang melanggar undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Allaudeen Abdul Majid

Sementara itu, badan pemantau pilihan raya tersebut  menggesa penggal bagi perdana menteri dihadkan, perlindungan pemberi maklumat dipertingkatkan, dan semakan semula Akta Hasutan.

“Kami akan memastikan PDRM memahami dan menghormati hak kami. Kedua-dua pihak perlu bekerjasama sebagai rakan kongsi yang sama bagi memastikan keselamatan awam dan kelancaran program esok.

“Adalah penting untuk mengingatkan kerajaan dan PDRM bahawa hak kita untuk berhimpun secara aman dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Peranan kerajaan dan PDRM adalah untuk memastikan rakyat dapat melaksanakan hak perlembagaan kita dengan bebas dan aman. Tidak sepatutnya ada sekatan yang dikenakan kerajaan terhadap acara yang dijadualkan esok," tambah Bersih.

Kumpulan itu berkata bahawa matlamat akhir tindakan esok adalah untuk mendesak kerajaan menunaikan janji mereka dan melaksanakan reformasi 100 peratus.

Jelasnya, kerajaan mesti menunjukkan komitmennya dengan menyediakan hala tuju dan garis masa yang jelas yang menggariskan hala tuju reformasi pilihan raya dan institusi.

"Kami akan memberikan maklumat terkini mengenai perkara ini melalui saluran media sosial Bersih nanti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS