Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan, pengakuan yang didakwa dibuat oleh Koperal Sirul Azhar Umar kepada seorang pegawainya mengenai pembabitannya dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tidak dibuat secara sukarela dan tidak diterima sebagai keterangan.

Ketika membuat keputusan tersebut, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata beliau mendapati terdapat dorongan oleh ACP Mastor Mohd Ariff, timbalan komander Unit Tindakan Khas (UTK), bagi mendapatkan pengakuan itu daripada Sirul Azhar.

"Pengakuan yang dibuat oleh Sirul tidak dibuat secara sukarela, oleh itu ia tidak diterima dan tidak akan disebut dalam perbicaraan ini," kata beliau.

Beliau membuat keputusan itu di akhir perbicaraan dalam perbicaraan, yang diadakan untuk menentukan sama ada pengakuan Sirul Azhar itu telah dibuat secara sukarela.

Perbicaraan dalam perbicaraan itu diadakan setelah penguambela Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin, membantah kemasukan pengakuan yang dikatakan dibuat oleh anak guamnya itu, sebagai keterangan.

Sirul, 35, adalah tertuduh kedua dalam kes pembunuah Altantuya Shaariibuu. Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dari UTK, Bukit Aman, dituduh membunuh Altantuya, 28, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, dituduh bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan itu.

Semalam, Kamarul Hisham, dalam hujahnya, telah menggariskan lima asas bantahan mengapa pengakuan pelanggannya itu tidak boleh diterima mahkamah.

Antara lain, katanya, pengakuan tersebut dibuat dalam keadaan keliru dan tertekan dari segi emosi, semasa dia didakwa membuat pengakuan kepada ketuanya mengenai penglibatannya dalam pembunuhan Altantuya.

Manakala pihak pendakwa pula, yang diketuai oleh Tun Majid Tun Hamzah, dalam hujahnya berkata, pengakuan Korporal Sirul Azhar Umar kepada pegawai atasannya berkaitan pembabitan dia dalam pembunuhan Altantuya tahun lalu, bukan dibuat kerana diancam, didorong dan dijanjikan.