Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih serah notis pada polis untuk berarak ke parlimen esok
Diterbitkan:  Feb 26, 2024 4:02 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Gabungan pemantau pilihan raya Bersih selesai menyerahkan notis makluman kepada pihak polis untuk mengadakan perarakan ke parlimen esok bagi menggesa kerajaan melaksanakan reformasi 100 peratus.

Pengerusinya, Faisal Aziz berkata notis berkenaan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Menurutnya notis itu sebagai jawapan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berhubung isu notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Serahan notis ini adalah sebagai jawapan kepada kenyataan Ketua Polis KL Tuan Allaudeen Abdul Majid berkenaan isu notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Bersih rakamkan terima kasih kepada pihak PDRM atas kerjasama serta jaminan keselamatan untuk aksi esok,” katanya dalam ciapan di X.

Untuk rekod di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur mesti memberi notis kepada polis sekurang-kurangnya lima hari sebelum perhimpunan, dan kegagalan mematuhinya boleh didenda sehingga RM10,000.

Semalam Allaudden menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang melanggar undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Terdahulu Bersih merancang mengadakan himpunan esok dan menyerahkan memorandum bagi mendesak kerajaan menunaikan janji melaksanakan reformasi 100 peratus.

Pertama, gabungan itu menggesa kerajaan menambah baik perlindungan terhadap pemberi maklumat dan membuka akses terhadap maklumat kerajaan.

Kedua, menetapkan had tempoh jawatan perdana menteri, yang merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan raya PH.

Ketiga adalah berkenaan Akta Hasutan, selaras dengan janji pilihan raya PH untuk menyemak semula dan memansuhkan undang-undang yang dilihat zalim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS