Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PKR mohon Bersih sokong usaha kembalikan kestabilan politik
Diterbitkan:  Feb 27, 2024 10:57 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Ketika Bersih mula berhimpun di Tugu Negara, pagi ini, bagi menuntut kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim komited terhadap janji reformasi - Pemuda PKR (AMK) pula menggesa badan pemantau pilihan raya itu untuk turut membantu Putrajaya ke arah mencapai matlamat bersama.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nabil Halimi dalam satu kenyataan berkata, mereka percaya Bersih perlu menyokong usaha kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik negara.

"Kestabilan politik ini juga adalah kunci kepada pemulihan ekonomi yang turut sebenarnya harus dititikberatkan sebagai keperluan mustahak untuk melihat reformasi yang berkesan.

"Kesenjangan dan ketidakadilan ekonomi hanya akan mematahkan cita-cita demokrasi yang diperjuangkan masyarakat sivil.

"Kami menyeru pihak Bersih untuk tidak hanya terhenti setakat berhimpun untuk menuntut, sebaliknya juga bersedia menghulurkan tangan membantu kerajaan untuk mencapai pelaksanaan agenda reformasi bersama-sama bagai aur dengan tebing," katanya.

Jelasnya, AMK turut mengalu-alukan usaha Bersih dan semua pihak yang konsisten mendorong agenda reformasi di negara ini.

Bagaimanapun katanya, untuk mencapai sesebuah reformasi adalah jalan panjang dan akan sentiasa berliku malah pentadbiran Anwar telah memperkenalkan banyak penambahbaikan dan pembaharuan dalam pengurusan negara sejak berkuasa lebih setahun lalu.

Nabil turut menyenaraikan beberapa reformasi yang dilaksanakan Anwar, termasuk pengenalan waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat, meluluskan beberapa undang-undang penting termasuk undang-undang anti-menghendap dan pemansuhan hukuman mati mandatori, pembentukan jawatankuasa pilihan khas mengenai rasuah, jawatankuasa pilihan khas semakan undang-undang dan jawatankuasa pilihan khas hal ehwal sosial dan masyarakat.

Pagi tadi, Bersih menganjurkan perhimpunan #Reformasi100Peratus di pekarangan Tugu Negara di Kuala Lumpur, sebelum mereka mula berarak menuju ke Parlimen.

Berbaju hitam dan kuning, kumpulan itu berhasrat untuk menyerahkan memorandum yang menggesa had penggal bagi perdana menteri, perlindungan pemberi maklumat yang dipertingkatkan dan semakan semula Akta Hasutan.

Dalam satu kenyataan semalam, Bersih menuntut kerajaan menunjukkan komitmen dengan menyediakan hala tuju dan garis masa yang jelas menggariskan agenda reformasi pilihan raya dan institusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS