Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Rakyat tumpu isu tarik minat siswazah perubatan dalam perkhidmatan awam

Hari kedua persidangan Dewan Rakyat akan tertumpu kepada perancangan kerajaan dalam menarik minat siswazah perubatan untuk terus berkhidmat dalam sektor kesihatan awam susulan kajian penghapusan skim pencen pada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang dijangka bermula tahun depan.

Perkara itu akan dibangkitkan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sesi soal jawab lisan.

Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) pula akan meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan kaedah kerajaan menetapkan sasaran 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) diwujudkan menjelang 2025 dan sama ada ia boleh tercapai memandangkan penggunaan EV masih rendah.

Iskandar Dzulkarnain juga ingin tahu mengenai galakan yang disediakan bagi menarik lebih ramai golongan M40 untuk memiliki EV.

Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkenaan jumlah generasi kedua Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) yang siap dibina dan syarat untuk memiliki rumah itu serta penjelasan beberapa projek tertangguh.

Selepas sesi soal jawab lisan, persidangan akan diteruskan dengan menyambung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang bermula semalam.

Berdasarkan takwim melalui laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 19 hari dengan perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Pembentangan serta perbahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada 18 hingga 27 Mac.

- Bernama

Lihat Komen
ADS