mk-logo
Berita
'Kongres ekonomi tak akan beri manfaat pada bumiputera kelas bawahan'
Diterbitkan:  Feb 29, 2024 8:30 AM
Dikemaskini: 1:38 AM

Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 tidak akan memawa apa-apa hasil yang berguna atau relevan kepada masyarakat "kelas bawahan", kata bekas menteri Zaid Ibrahim.

Zaid berkata ini kerana dasar-dasar di Malaysia bukanlah dirangka untuk golongan itu.

Dia membangkitkan pihak berkuasa tempatan yang menurutnya "bersungguh-sungguh" untuk membatalkan lesen perniagaan atas pelbagai sebab.

"Susah untuk mencari nafkah, dan mereka buatkannya jadi lebih susah," katanya mengulas artikel yang diterbitkan Malaysiakini berhubung bagaimana kongres itu mampu membantu masyarakat kelas bawahan.

Dalam hantaran di Facebook semalam, Zaid berkata sebab utama pihak berkuasa membatalkan lesen adalah kerana pelanggaran syarat.

"Namun jika anda letak begitu banyak syarat yang anda tahu tidak dapat dipenuhi, mudah untuk membatalkan (lesen).

"Katakan syaratnya adalah anda perlu kendalikan sendiri perniagaan anda. Bagi golongan kelas atasan, lesen (mereka) tidak akan dibatalkan kerana kerajaan tahu golongan atasan tidak pernah gunakan lesen-lesen ini untuk kendali perniagaan secara sendiri.

"Anda pernah dengar lesen pembalakan, perlombongan dan operasi pasir yang dikeluarkan kepada golongan atasan dikendalikan oleh mereka (sendiri)?" soalnya.

Pada masa sama, katanya lagi, golongan yang mendapat lesen untuk berniaga di pasar Selayang akan dihukum kerana menyewakan lesen mereka dan meraih beberapa ratus ringgit.

"Katakan syarat menggariskan warga asing tak boleh gunakan lesen itu. Bagaimana boleh berjuta warga asing datang ke sini jika bukan kerana penglibatan golongan atasan?

"Tapi golongan bawahan yang akan dihukum jika mereka sewakan premis/lesen kepada warga asing untuk dapatkan beberapa ratus sebulan," katanya lagi.

Justeru, Zaid berkata masyarakat kelas bawahan dan miskin memiliki masa depan yang malap kerana golongan atasan telah bertapak dengan kukuh.

"Mereka yang akan hadir ke kongres esok adalah kelas atasan.

"Mereka tidak akan berkongsi kek tetapi lebih suka untuk membesarkannya lagi," katanya, merujuk kenyataan Menteri Kewangan Kedua Amir Hamzah Azizan yang kongres itu bertujuan menambah baik dan membesarkan "pai ekonomi" untuk manfaat masyarakat.

"Di saat ini, lebih banyak lesen dan perniagaan kelas pekerja akan dibatalkan atau ditutup kerana keadaan yang teruk. Tetapi saya pasti keadaannya berbeza untuk golongan atasan. Pastinya kek mereka akan bertambah besar," katanya lagi.

KEB 2024 akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ini merupakan kongres kelapan sejak 1965.

Semalam, The Star melaporkan meskipun dengan dasar untuk bumiputera dilaksanakan sejak tahun itu, statistik menunjukkan matlamat kongres - iaitu untuk menamatkan gejala kemiskinan dan meningkatkan pendapatan bumiptera agar setara dengan masyarakat lain - masih tidak dicapai sepenuhnya, walaupun ada penambahbaikan yang signifikan dalam usaha membasmi kemiskinan.

Menurut laporan itu lagi, pada 2022, garis median pendapatan isi rumah bulanan untuk bumiputera adalah RM5,793, manakala keluarga India dengan RM6,627 dan keluarga Cina dengan RM8,167.

Menurut Rancangan Malaysia Ke-12, meskipun bumiputera merangkumi 65.1 peratus daripada seluruh isi rumah pada 2019, sebanyak 71.4 peratus isi rumah tersebut dalam kategori B40.

Beberapa dekad pelaksanaan program pembangunan vendor untuk mengembangkan perniagaan bumiputera juga tidak membawa hasil yang diinginkan, dengan kebanyakannya kekal pada skala mikro, kecil dan sederhana.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS