Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) kesal dengan saranan yang dibuat oleh beberapa pemimpin Pemuda Umno supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan ke atas pengendali blog, khususnya Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penggunaan ISA adalah merupakan jalan mudah untuk menangkis fitnah dan dakwaan.

"Tanpa perlu bersusah payah mengemukakan bukti dan melaksanakan perbicaraan, seseorang itu boleh disoal-siasat, diseksa dan ditahan berlanjutan hingga masa yang tidak menentu," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Norza Zakaria telah dilaporkan berkata Tian wajar dikenakan tahanan ISA kerana menyiarkan gambar rekaan yang menunjukkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang makan bersama penganalisa politik, Abdul Razak Baginda dan Altantuya Shaariibuu.

Abdul Razak sedang dibicarakan atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya.

Oleh itu, Syed Ibrahim berkata, GMI menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam mencadangkan penggunaan undang-undang tanpa bicara seperti ISA kerana implikasinya cukup besar.

Menurut Syed Ibrahim lagi, kuasa yang luas di bawah ISA membuka peluang untuk mencemar kebenaran dan keadilan.

"Sekiranya sesiapa yang didapati bersalah setelah melalui proses mahkamah, maka dakwa dan hukumlah mereka. Jika tidak, bebaskan mereka. Jangan guna ISA kerana ISA bukan jalan penyelesaian.

Cabar Hishammuddin

"GMI tetap dengan prinsipnya bahawa ISA merupakan satu undang-undang yang zalim kerana menahan seseorang tanpa bicara dan tanpa peluang membela diri. Oleh itu ISA bukan sahaja tidak layak digunakan malah sepatutnya dimansuhkan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, katanya, GMI menggesa kerajaan supaya melaksanakan saranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya memansuhkan ISA dan semua tahanan ISA dibebaskan.

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula berkata, kenyataan Norza itu tidak mencerminkan pemahaman yang mendasar mengenai makna dan aturan demokrasi di Malaysia.

Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa berpendapat, isu sebenar bukanlah gambar rekaan Tian, sebaliknya keperluan Najib disapina ke mahkamah bagi menjadi saksi untuk menyelesaikan perjalanan kes tersebut.

"AMK berpendirian tegas, bahawa isunya bukan ISA ke atas Tian, sebaliknya AMK mencabar Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussien mahupun Najib sendiri membawa kes ini ke mahkamah untuk mendakwa Tian atas tuduhan memfitnah.

"AMK percaya dengan pengalaman Tian Chua ditahan di bawah ISA, beliau mampu berhadapan dengan dakwaan tersebut dan mematahkannya dengan fakta yang lengkap demi memastikan keadilan ditegakkan," kata Fariz.

AMK juga, katanya, amat kesal dengan sikap Polis yang terus menyiasat Tian apabila ada laporan polis yang dibuat oleh Kongres India Muslim SeMalaysia (Kimma), tetapi mendakwa, ratusan laporan polis mengenai pendedahan rasuah dan salahguna kuasa di kalangan elit politik pemerintah disenyapkan begitu saja.