Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan harus tingkatkan bakat semua kaum - Ramanan

Kerajaan harus menumpukan kepada langkah pembinaan bakat merentas kaum untuk bersaing di pentas global di mana modal insan kini merupakan aset terbesar bagi mana-mana negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata justeru, Malaysia perlu meningkatkan bakat terbaik dalam negara tanpa diskriminasi serta meletakkan mereka di barisan hadapan supaya kita boleh bersaing di pentas global.

Beliau berkata demikian pada sesi Diskusi MADANI bertajuk 'Aspirasi Perpaduan Memperkukuh Agenda Bumiputera' pada hari pertama Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Putrajaya hari ini.

Ramanan berkata agenda pemerkasaan bumiputera juga perlu mengambil kira kaum lain yang masih ketinggalan dari aspek pendidikan dan ekonomi terutama kaum India yang masih memerlukan tumpuan serta bantuan daripada kerajaan.

Beliau berkata masalah kemiskinan bandar dalam kalangan masyarakat India adalah cabaran utama bagi pembangunan kaum itu di negara ini.

Ramanan berkata susulan pemecahan estet yang bermula pada 1960-an, kaum India yang bekerja di situ mendapati diri mereka terpinggir.

“Mereka tiada pekerjaan dan tiada tempat tinggal. Mereka mula berhijrah ke bandar dan proses itu menambahkan lagi kemiskinan bandar dalam kalangan kaum India kerana mereka tidak mempunyai kemahiran untuk bekerja di bandar.

“Masalah ini juga bertambah dengan kebanjiran pekerja asing di negara ini yang telah menjadi pilihan majikan dalam kerja-kerja 3D iaitu Dirty, Difficult and Dangerous terutama warga Indonesia dan Bangladesh,” katanya.

KEB, yang berlangsung selama tiga hari hingga 2 Mac ini, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus meliputi 10 kumpulan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS