Sebuah suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat tuduhan salahlaku terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, kata Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini.

Di samping itu, AMK juga menggesa Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menggantung perkhidmatan Musa sehinggalah selesai siasatan yang dijalankan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadapnya.

AMK membuat gesaan tersebut sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum di Parlimen semalam bahawa kementeriannya telah membuat laporan kepada BPR mengenai tuduhan korupsi terhadap Musa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa berkata, tindakan kementerian tersebut membuat laporan kepada BPR adalah "sesuatu yang amat serius dan memerlukan tindakbalas segera".

"AMK melihat tidak ada sebab yang munasabah untuk Musa tidak dilucutkan jawatannya, memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim satu ketika dahulu, juga dihukum dan dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri di saat beliau belum terbukti bersalah.

"Sekiranya kerajaan konsisten dan telus, maka pendekatan yang sama wajar diambil ke atas Musa, dengan menggantung jawatannya," tambahnya.

Fariz berkata, membenarkan Musa terus berkhidmat akan memberikan implikasi yang amat serius dan negatif kepada keselamatan negara ekoran dakwaan yang mengaitkan beliau dengan kongsi gelap, yang menjadi akar umbi kepada permasalahan jenayah negara.

Kadar jenayah meningkat

"AMK akan mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk menyatakan kegusaran rakyat dan keperluan sebuah suruhanjaya diraja di bawah bidangkuasa Seri Paduka, ditubuhkan pada kadar segera.

"Rakyat kian bimbang dengan kenaikan kadar jenayah yang semakin tidak terkawal, dan demi membuktikan Abdullah bukan pemimpin yang lemah, maka beliau perlu menggantung tugas Musa dan kembali memperbetulkan keadaan agar rakyat tidak tertekan lagi," tambahnya.

Johari menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan daripada Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) di persidangan Dewan Rakyat semalam.

Katanya, perkara itu di bawah Ordinan Pencegahan dan beliau telah berhubung dengan pihak Bukit Aman untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Blog politik Malaysia Today telah menyiarkan laporan yang mengaitkan Musa dan polis dengan kongsi gelap Cina.

Musa, yang perkhidmatannya disambung secara kontrak, didakwa telah menerima RM2.1 juta kerana melepaskan sekumpulan gangster.

Ketua Polis Negara itu bagaimanapun menafikan laporan tersebut dan berkata beliau tidak bimbang kerana ia adalah satu fitnah terhadapnya.