Razak Baginda serah nota ugutan pada polis
Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda tidak melawan ketika dia ditangkap polis di pejabatnya pada 7 November tahun lalu untuk membantu siasatan berhubung kes pembunuhan wanita rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu, demikian Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini.
Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda tidak melawan ketika dia ditangkap polis di pejabatnya pada 7 November tahun lalu untuk membantu siasatan berhubung kes pembunuhan wanita rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu, demikian Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini.
DSP Lim Meng Seah, 44, pegawai yang melakukan tangkapan itu berkata, sebaliknya, Abdul Razak yang berseorangan itu telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dan menjawab soalan yang ditujukan kepadanya sewaktu dia ditangkap, demikian menurut laporan Bernama.
Ditanya oleh Peguam Wong Kian Kheong, yang mewakili Abdul Razak, Lim dari Bahagian Siasatan Jenayah Utama Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, berkata malah Abdul Razak ada menghidangkan makanan dan minuman kepada beliau dan pasukannya, dan juga pada kali kedua (pada 9 November) beliau dan pasukannya pergi ke pejabatnya untuk merampas barang.
Ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwaraya, Manoj Kurup, apakah alasan Abdul Razak menghidangkan makanan dan minuman sewaktu dia ditangkap, Lim menjawab: "Sebab Abdul Razak sendiri masih belum sarapan pagi. Dia beri peluang kepada saya untuk makan dan minum".
Sewaktu pemeriksaan utama oleh Manoj, saksi itu berkata Abdul Razak yang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur menaiki sebuah van polis, tidak digari kerana dia (Abdul Razak) tidak "berkelakuan ganas".
Lim, saksi pendakwaan ke-14 pada hari ke-17 perbicaraan kes itu, berkata, setibanya di ibu pejabat polis kontinjen KL, beliau menyerahkan Abdul Razak kepada DSP Gan Tack Guan, pegawai yang mengarahkan beliau membuat tangkapan itu.
Sebelum itu, Lim memberitahu mahkamah bahawa beliau bersama sepasukan tujuh anggota polis pergi ke pejabat Abdul Razak di Malaysian Strategic Research Centre (MSRC) di Tingkat 10 Bangunan Lembaga Getah Asli pada jam 9.55 pagi 7 November tahun lalu selepas beliau menerima arahan daripada Gan untuk menangkap Abdul Razak.
Rampas telefon
Lim, yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, berkata beliau ada merampas beberapa barang daripada Abdul Razak termasuk dua telefon bimbit dan satu komputer riba selain buku daftar pelawat bangunan itu daripada pengawal yang bertugas di bangunan itu, Mohamad Zaini
Zainordin.
Katanya isteri Mazlinda Makhzan juga ada menyerahkan kepadanya satu komputer laptop.
Lim turut berkata dua hari kemudian (9 November tahun lalu) Abdul Razak juga ada menyerahkan kepadanya satu sampul surat bertulisan Hotel Malaya yang disimpannya di dalam laci meja pejabatnya yang mengandungi lima keping nota dan kandungan satu daripada surat itu bertulisan Inggeris berbunyi "You love money or you love your life. I came with my father, waiting outside".
Katanya, pada jam 11 pagi hari itu (9 November), beliau bersama sepasukan tiga anggota polis telah pergi ke pejabat Abdul Razak selepas beliau menerima arahan daripada Gan untuk membawa Abdul Razak ke pejabatnya untuk merampas satu komputer laptop dan dokumen.
Lim berkata empat daripada surat itu mengandungi tulisan dan sekeping lagi kosong.
Ketika ditunjukkan surat itu oleh Manoj, saksi itu mengesahkannya.
Abdul Razak, 46, dituduh bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, kedua-dua dari Unit Tindakan Khas, Bukit Aman, membunuh Altantuya, 28, di Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati.
Dalam perbicaraan lalu, pendakwaan telah mengemukakan di mahkamah melalui saksi dari Mongolia, Burmaa Oyuchimeg yang merupakan sepupu kepada Altantuya, beberapa nota memo berlogokan "Hotel Malaya", mengandungi tulisan berunsur ugutan. Ada antara nota berkenaan mengandungi tandatangan nama Amina iaitu nama panggilan Altantuya.
Buat tangkapan
Antara kandungan nota yang telah dibacakan dalam perbicaraan lalu ialah "if you prefer money more than life, Its ok. hope you'll prefer more than money. your Rowena life. better hurry Razak."
Lim juga memberitahu mahkamah bahawa pada 9 November lepas, setiausaha Abdul Razak, Siti Aisyah Mohd Azlan, telah membuka pintu untuk membenarkan beliau dan pasukan masuk ke pejabat itu.
"Saya bertanya sama ada Abdul Razak ada di pejabat dan Siti Aisyah berkata ada, dan beliau menunjukkan pejabat Abdul Razak. Saya masuk ke pejabat Abdul Razak. Abdul Razak ada di dalam pejabatnya dan tidak ada orang lain bersama dia.
"Selepas masuk (ke pejabat Abdul Razak), saya memperkenalkan diri saya sebagai seorang polis dan menunjukkan kad kuasa saya dan memberitahu tujuan kedatangan saya adalah untuk menangkap beliau dan memberitahu sebab menangkap dia iaitu siasatan berkaitan satu kes pembunuhan seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu," katanya.
Lim berkata beliau kemudiannya meminta kad pengenalan daripada Abdul Razak dan setelah memeriksa, beliau mendapati tertera nama "Abdul Razak Abdullah" pada kad itu.
Lim merujuk Abdul Razak sebagai "Razak Baginda" dan ini membuatkan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin menegur saksi itu bahawa beliau telah memberi keterangan yang beliau diarahkan oleh Gan untuk menangkap "Abdul Razak Abdullah" tetapi beliau dalam keterangannya memanggilnya "Razak Baginda".
Serbu rumah
Lim kemudianya menjawab bahawa "Razak Baginda" adalah orang yang sama dengan "Abdul Razak Abdullah".
"Nama glamor Abdul Razak ialah Razak Baginda," kata saksi itu.
Lim berkata bahawa pada sebelah malam hari yang sama pula, (9 November tahun lalu) pasukannya ada membuat serbuan di rumah bapa Abdul Razak di Damansara Heights untuk memeriksa rumah itu.
Lim berkata beliau telah membawa Abdul Razak dari lokap di Bukit Aman ke rumah bapanya itu dan setelah membuat pemeriksaan, beliau merampas passport kepunyaan Abdul Razak.
Pada ketika itu, katanya, ibu bapa Abdul Razak, isteri dan anak perempuannya, dan juga peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah, peguam yang mewakili Abdul Razak sebelum ini, berada di rumah itu.
Lim berkata pada masa itu beliau ada mencari sebuah laptop di rumah itu tetapi tidak dapat dikesan, dan Abdul Razak memberitahunya kemungkinan laptop itu tertinggal di dalam keretanya yang diletakkan di kawasan pejabatnya.
Selepas itu, katanya, isteri Abdul Razak, Mazlinda Makhzan memberitahunya bahawa beliau akan mencari komputer laptop itu dan akan menyerahkan barang itu kepadanya jika beliau berjumpa.
'Balai paling sibuk'
Lim berkata bahawa pada 11 malam, hari yang sama (9 November 2006), Mazlinda ada berjumpa dengan beliau di pejabatnya di IPK KL dan menyerahkan laptop beserta begnya kepada beliau.
Lim berkata, kesemua barang yang dirampasnya diserahkan kepada ASP Tonny Lunggan.
Mahkamah hari ini juga mendengar keterangan daripada dua saksi pendakwaan, iaitu dua anggota polis wanita Konstabel Azura Abdul Kadir, 24, dan Lans Koperal Leena ak Asing, 32, -- daripada cawangan D7, Pencegahan Maksiat dan Perjudian, Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya.
Kedua-dua saksi itu disoal oleh Timbalan Pendakwaraya Hanim Rashid.
Azura mengesahkan bahawa rakan setugasnya Lans Koperal Rohaniza Roslan telah bertanya beliau soalan mengenai balai polis mana yang paling sibuk antara Balai Polis Travers dan Balai Polis Brickfields.
Katanya beliau menjawab pertanyaan Rohaniza dengan berkata balai polis Brickfields lebih sibuk berbanding daripada Travers.
Leena pula mengesahkan bahawa beliau terdengar perbualan Rohaniza, yang juga rakan setugasnya, yang telah menelefon Balai Brickfields dan membuat pertanyaan sama ada terdapat orang di kawasan Brickfields membuat laporan berhubung "kehilangan orang", "sudden death report" atau "berjumpa mayat"
Leena berkata Rohaniza telah bercakap selama seminit sahaja menggunakan telefon pejabat yang berada di atas mejanya yang bersambung dengan meja Rohaniza.
Rohaniza adalah teman wanita Azilah dan telahpun memberi keterangan dalam perbicaraan itu sebelum ini.

