Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet bincang kekal kadar SST 6% penerbangan domestik Jumaat ini
Diterbitkan:  Mar 4, 2024 5:04 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Cadangan mengekalkan kadar enam peratus cukai perkhidmatan penerbangan domestik akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan pada Jumaat ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata kementerian itu akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) berikutan isu cukai terletak di bawah bidang kuasa MOF.

"Cukai perkhidmatan itu melibatkan semua tiket penerbangan. Saya akan berbincang dengan MOF untuk melihat sama ada kita boleh mengekalkan kadar itu bagi perjalanan domestik,” katanya kepada media selepas melancarkan tambang tetap AirAsia sempena Hari Raya Aidilfitri di SST, hari ini.

Cukai perkhidmatan dinaikkan kepada lapan peratus berkuatkuasa pada 1 Mac lepas berbanding enam peratus sebelum ini.

Kadar baru itu yang tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi serta tempat letak kereta, telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 pada Oktober lepas yang menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara selain mengurangkan defisit belanjawan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Tan Sri Tony Fernandes berkata kerajaan perlu mempertimbangkan langkah pengekalan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus untuk perjalanan domestik memandangkan industri itu baru pulih selepas COVID-19 selain peranan besar pelancongan dalam ekonomi negara.

Beliau sebaliknya menyarankan kerajaan untuk turut memberi perhatian kepada organisasi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang akan menjadi sebuah perniagaan yang besar.

Malah, beliau berharap kerajaan dapat memberi sokongan terhadap organisasi MRO tempatan agar setanding dengan Singapura.

"MRO mampu menjadi platform bagi mewujudkan lebih banyak kerja di rantau ini. Kita juga berharap selain cukai perkhidmatan, kerajaan akan melihat kepada organisasi MRO yang merupakan majikan besar serta penyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK)," katanya.

Dalam pada itu, bersempena Aidilfitri, AirAsia menawarkan lebih daripada 22,000 tempat duduk dengan tambang rendah tetap untuk penerbangan lewat malam antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kadar tambang dikenakan adalah RM298 sehala ke Sarawak manakala ke Sabah adalah RM348 sehala.

Tempahan bagi tambang promosi itu boleh dibuat mulai hari ini hingga 17 April, 2024, di laman sesawang airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.

- Bernama

Lihat Komen
ADS