Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hot Daddy', dua rakan wanita didakwa lagi jual rakaman lucah
Diterbitkan:  Mar 4, 2024 6:19 PM
Dikemaskini: 1:11 PM

Seorang lelaki dan dua rakan wanitanya didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menjual rakaman video lucah, dua bulan lepas.

Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli (yang tular di media sosial sebagai 'Hot Daddy'), 32, Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah D7, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini pada 11.54 malam, 15 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh manakala ketiga-tiga tertuduh yang diwakili tiga peguam Mohd Faris Abrar Othman, Mohammed Hissham Ramdzan dan Nurul Aeir Muhammad Harvian Kamar memohon jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen, Hasli Ikhwan dan Norhidayah turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memilik bahan lucah di pejabat D7 (Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap) Bukit Aman pada 4 petang, 22 Jan lepas.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal manakala Hasil Ikhwan yang mempunyai tiga anak dan Norhidayah diwakili peguam sama.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April sebagai tarikh sebutan semula.

Pada 26 Jan lepas, Hasli Ikhwan, Norhidayah dan Norshazrina didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X.

- Bernama

Lihat Komen
ADS