Majlis am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan perbincangan untuk menentukan tindakan susulan ekoran keputusan kerajaan menolak permintaannya supaya melaksanakan gaji minimum untuk pekerja swasta.

Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamud berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan kerajaan itu dan menyifatkannya sebagai tidak prihatin dengan keperluan semasa pekerja.

"Sebelum ini kerajaan berkata pekerja adalah rakan kongsi kerajaan tetapi apa yang dibuat oleh pihak berkuasa, menunjukkan sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, MTUC memberi perhatian serius terhadap perkara tersebut dan tindakan lanjut akan dibuat berdasarkan keputusan mesyuarat majlis am yang akan diadakan kelak.

"Keputusan sama ada piket diteruskan akan ditentukan dalam mesyuarat tersebut," katanya.

Sebelum ini, MTUC mengadakan piket di seluruh negara bagi mendesak kerajaan melaksanakan pembayaran gaji minimum RM900 di kalangan pekerja swasta dan elaun sara hidup (COLA) RM300 sebulan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Abdul Rahman Bakar dilaporkan berkata sekiranya permintaan MTUC itu ditunaikan, ia akan menyebabkan banyak syarikat dalam negara `gulung tikar'.

Tidak serius

"Terdapat kira-kira dua juta pekerja asing dalam negara ketika ini, jika semua diberikan gaji minimum seperti yang diminta MTUC, banyak syarikat tempatan akan ditutup," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Dr Jins Shamsudin di persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau memberi contoh bayaran gaji minimum dan COLA kepada pembantu rumah, yang menurutnya adalah tidak logik, kerana tempat tinggal dan makanan pembantu rumah itu disediakan majikan.

Syed Shahir berkata, pihaknya tidak pernah mengambil tindakan yang menekan kerajaan tetapi ia dilakukan berdasarkan keperluan dan kehendak golongan pekerja.

Katanya, MTUC berpendapat, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak serius untuk membantu golongan pekerja swasta bergaji rendah di negara ini.

"Beliau tidak pernah mahu berbincang dengan MTUC, sedangkan dia yang mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam.

"Mengapa beliau enggan membela pekerja swasta bergaji rendah sedangkan beliau merupakan pemimpin nombor satu negara," katanya.